Tidak dinafikan bahawa tujuan perkahwinan ini disyariatkan adalah untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, iaitu untuk mencintai dan dicintai terhadap pasangan masing-masing seperti kisah Adam dan Hawa. Apatah lagi, dengan percintaan ini dapat mengembangkan masyarakat serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa.
Akan tetapi, ramai yang terlupa bahawa dalam keseronokan berkahwin, datang juga tanggungjawab yang berat yang wajib dipikul oleh kedua-dua pasangan tersebut khususnya untuk para lelaki bergelar suami.
Sehubungan itu, untuk mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah, setiap daripada kita perlu menunaikan tanggungjawab dalam memberikan hak dan nafkah terhadap pasangan masing-masing.
Hak dan Tanggungjawab Para Suami
Justeru itu, di dalam artikel pada kali ini, kami akan kongsikan hak dan tanggungjawab para suami untuk memberi nafkah kepada isteri mereka sebagai peringatan kepada para lelaki di luar sana. Semoga bermanfaat!
Adakah si suami perlu menyediakan nafkah terhadap isterinya? Berapa banyak nafkah yang perlu diberikan? Duit belanja dapur telah saya berikan, adakah saya perlu memberi nafkah lagi? Isteri saya seorang yang berkerjaya dan berpendatan tinggi, adakah saya perlu untuk memberikan nafkah kepadanya lagi?
Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, anda perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan nafkah. Nafkah adalah pembelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Untuk pengetahuan anda, adalah wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kepada isteri mereka sama ada berkemampuan atau tidak.
Suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan perlu diingatkan bahawa berdosa untuk suami jika tidak berbuat demikian. Sekiranya si suami mengambil remeh atau bersikap culas tentangnya, si isteri mempunyai hak untuk pergi ke mahkamah bagi menuntut nafkah tersebut menurut peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Keluarga Islam walaupun masih dalam ikatan perkahwinan.
Suami bertanggungjawab untuk memastikan isteri cukup makan minumnya dan sekiranya isteri yang menguruskan pembelian barang dapur dan pembayaran bil, maka si suami perlu menyediakan wang secukupnya tanpa menggunakan duit isteri. Anda perlu ingat sifir ini, duit suami sama dengan duit suami dan isteri, manakala duit isteri hanya duit isteri sahaja.
Beri Duit Belanja Kepada Isteri
Selain itu, si suami wajib memberikan duit belanja kepada isteri mereka dan ianya tidak boleh disamakan dengan duit perbelanjaan barang dapur. Duit belanja ini seperti satu bentuk penghargaan atau hadiah
kepada si isteri untuk menggembirakannya yang telah berpenat lelah menguruskan hal ehwal rumah tangga. Perlu diingat, isteri gembira keluarga bahagia!
Sekiranya si isteri merupakan wanita berkerjaya dan berpendapatan lebih tinggi daripada si suami, tanggungjawab suami untuk memberi nafkah isteri yang bekerja itu masih ada dan si suami wajib melakukannya. Namun begitu, nilai yang perlu diberikan adalah mengikut kata sepakat hasil perbincangan antara suami isteri.
Seterusnya, si suami perlu menyediakan rumah dan pakaian yang selesa buat isteri mereka. Rumah dan pakaian yang selesa ini bukanlah bermakna rumah yang besar dan pakaian yang mahal-mahal, tapi rumah yang aman dan mudah untuk isteri membuka auratnya tanpa individu bukan mahram dan juga pakaian yang sesuai dan selesa untuk si isteri menutup auratnya mengikut kemampuan si suami.
Perlukah Beri Nafkah Lepas Bercerai?
Selepas berlaku perceraian, adakah perlu untuk memberikan nafkah? Tidak dinafikan ramai yang tidak tahu akan perkara ini. Bagi mereka, selepas perceraian terputus sudah segala ikatan dan tanggungjawab di antara suami isteri. Pada hakikatnya, walaupun selepas perceraian, adalah wajib bagi si suami untuk memberikan kepada si isteri sepanjang dalam tempoh edah. Bahkan si isteri juga dibenarkan untuk tinggal di rumah sepanjang tempoh itu.
Namun apa yang menyedihkan adalah, bukan sahaja mereka tidak memberikan nafkah kepada isteri, malah nafkah menguruskan anak juga tidak diberikan kepada isteri. Untuk pengetahuan anda, selepas cerai hanya ikatan suami isteri sahaja yang akan terputus, akan tetapi ikatan ayah dan anak tidak. Jadi, sila lakukan tanggungjawab anda sebagai seorang ayah.
Tunaikan Nafkah Zahir dan Batin
Untuk pengetahuan anda, si suami bukan hanya perlu menunaikan nafkah zahir sahaja seperti yang di bincangkan di atas, mereka juga perlu untuk menunaikan nafkah batin juga. Apakah itu nafkah batin? nafkah batin bukanlah berkisar perlakuan seksual semata mata, akan tetapi lebih kepada menggauli isteri secara baik, mendengar masalah, menyenangkan hati dan bermesra serta mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin.
Justeru itu, si suami wajib memberikan nafkah kepada isteri mereka selagi mana isteri menunaikan hak mereka seperti taat kepada suami, memenuhi keperluan batinnya, tidak membenarkan orang yang tidak disukai suami masuk ke dalam rumah dan tidak berlaku nusyuz kepada suami. Semoga bermanfaat!
Baca juga: