Adakah anda baru berjinak-jinak dalam dunia pelaburan? Dan tidak tahu di manakah tempat melabur yang sesuai? Sekiranya ya, kami menyarankan anda untuk membuat pelaburan emas. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah keistimewaan pelaburan emas berbanding yang lain?
Kalau nak tahu, emas merupakan sebuah komoditi yang sangat bernilai dari zaman berzaman. Tidak kiralah sama ada dari zaman Hang Tuah sampai lah ke zaman kita sekarang ini, emas tetap dianggap sebagai simbol kekayaan. Apa yang lebih menarik adalah, sekiranya nilai mata wang menurun sekali pun, nilai emas tersebut tidak akan terjejas malah nilainya akan semakin meningkat tinggi dalam jangkamasa panjang.
Daripada sudut pandang tersebut pasti anda sudah boleh nampak betapa istimewanya pelaburan emas ini, malah apabila nilai mata wang menghadapi inflasi, keuntungan anda boleh jadi berlipat kali ganda! Namun begitu, setiap pelaburan pasti akan ada risikonya yang tersendiri. Jadi, di dalam artikel pada kali ini, kami akan kongsikan tips pelaburan emas yang betul supaya anda dapat menjana keuntungan yang tinggi dan terselamat daripada risiko yang bakal anda hadapi. Selamat membaca!
1. Jangan beli barang kemas
Pasti ada yang tertanya-tanya, kenapa ‘jangan’ beli barang kemas? Bukankah itu juga emas? Iya sudah tentu barang kemas adalah emas juga. Tetapi tahukah anda, membeli barang kemas adalah lebih mahal daripada emas pelaburan? Dan harga jualan barang kemas adalah lebih rendah?
Ini kerana, ketika anda membeli barang kemas, anda bukan sahaja perlu membayar harga emas tersebut, malah anda juga perlu membayar upah tukang yang menjadikannya lebih mahal daripada emas pelaburan. Dan peratusan spread yang tinggi dalam barang kemas akan mengurangkan nilai emas tersebut sekiranya anda ingin menjualnya di masa akan datang.
Justeru itu, untuk menjana pendapatan yang maksimum, adalah bijak untuk anda membuat pelaburan emas dengan membeli emas pelaburan bukan barang kemas!
2. Pastikan anda membeli dengan duit simpanan
Tips ini terpakai kepada semua jenis pelaburan. Kalau nak tahu, cara melabur yang betul adalah bermula dengan menyimpan terlebih dahulu. Apabila anda menerima gaji, perkara yang penting adalah mengasingkan dulu duit perbelanjaan, kecemasan dan simpanan.
Pastikan anda konsisten untuk menyimpan walaupun jumlah yang sedikit. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Harus diingat, pelaburan adalah untuk jangka masa panjang dan bukannya duit simpanan yang boleh di keluarkan pada bila-bila masa. Pastikan anda mempunyai wang untuk berbelanja seharian dahulu dan cuba untuk potong sebaik mungkin mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu.
Apatah lagi sekiranya anda membuat pelaburan emas yang mempunyai spread emas untuk jangka sederhana atau panjang. Jadi sekiranya anda membeli dengan duit perbelanjaan, kemudian secara tiba-tiba, anda terdesak untuk menggunakan duit dan anda menjualnya semula, pasti anda akan mengalami kerugian kerana belum melepasi peratus spread.
3. Pastikan syarikat tersebut sah dan kukuh
Untuk pengetahuan anda, bagi memaksimakan keuntungan dalam pelaburan, anda hendaklah menjual semula emas tersebut ke tempat anda beli. Sekiranya menjual emas di syarikat yang lain, nilai jualan pasti akan lebih rendah dan akan merugikan anda nanti.
Selain itu, terdapat risiko sekiranya anda membeli emas di syarikat yang kecil dan tidak stabil. Apabila kedai tersebut muflis, pasti anda tidak dapat menjual semula emas itu kedai tersebut. Dan apa yang lebih menyedihkan adalah, kebanyakan syarikat tidak mahu membeli emas tersebut dan sekiranya mereka ingin membeli sekali pun, harga jualan pasti akan jauh lebih rendah.
4. Pastikan Syarikat Pelaburan Emas Patuh Syariah.
Bagi masyarakat Muslim, setiap perniagaan mestilah patuh syariah bagi menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Walaupun keuntungan tinggi melangit, tapi sekiranya tidak mendapat keredhaan Allah, maka wajib bagi kita meniggalkan perkara tersebut.
Justeru itu, adalah penting untuk anda memastikan syarikat pelaburan emas patuh syariah dan mendapat pengesahan daripada badan berautoriti seperti Jabatan Agama Negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan.
5. Pastikan anda hanya membeli emas fizikal sahaja
Pada zaman sekarang ini, terdapat syarikat yang menawarkan emas atas talian sahaja (virtual). Pastikan anda tidak membelinya kerana terdapat kemungkinan emas itu tidak wujud dan anda akan ditipu!
Malah, di dalam Islam juga diharamkan perkara sedemikian. Antara syarat jual beli emas adalah tunai dan serta merta penyerahan milikan emas itu. Jadi, sekiranya syarat itu tidak dipenuhi, maka urus niaga itu akan menjadi haram dan terbatal. Sebagai seorang Muslim sudah tentu anda tidak ingin makan daripada makanan yang haram, kan!
Kesimpulannya, pelaburan emas akan lebih produktif sekiranya mengikuti cara yang betul. Selamat beramal!
Baca juga: