Saya perkenalankan kepada anda Saiful Mustaqim (bukan watak sebenar). Saiful Mustaqim baru mendapat kerja. Bagi mereka yang baru hendak menempuh alam pekerjaan, sama ada makan gaji atau bisnes sendiri, pasti pernah mendengar istilah ‘tabung kecemasan‘.
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ini dan bagaimana pula membinanya? Soalan yang menjadi ‘check-point’ kita ialah; andaikata esok kita hilang segala punca pendapatan, berapa lamakah kita mampu bertahan tanpa menerima bantuan pihak luar?
Simpanan Kecemasan.
Simpanan ini seharusnya menjadi top priority bagi kita dalam perancangan kewangan masing-masing. Walaupun ramai yang sedar, malah mengakui kepentingan tabungan ini, kita masih belum bertindak dan bersikap bertangguh. Apabila saya ditanya bila sebaiknya kita mula membina simpanan ini, saya teringat satu soalan dari seorang rakan;
“Bilakah masa terbaik untuk tanam pokok durian?”
Jawapannya; “Lima tahun lepas, kerana sekarang anda boleh menikmati hasilnya.”
“Bila pula masa kedua yang terbaik untuk menanam pokok durian?”
Jawapannya; “Sekarang, supaya anda boleh menikmati hasilnya lima tahun akan datang.”
Ada dua elemen penting dalam perbualan kami tadi. Yang pertama, bersedia seawal mungkin, dan yang kedua, tiada istilah lambat untuk bermula. Kembali kepada teknikmembina tabung kecemasan. Masa yang paling baik ialah ketika menerima pendapatan pertama. Masa yang kedua terbaik ialah sebaik sahaja anda habis membaca artikel ini. Persoalannya sekarang, berapa banyak yang perlu ditabung, dan kaedah memastikan tabungan itu kekal.
Bagi peringkat permulaan, saya mengesyorkan saiz simpanan ini bersamaan dengan jumlah tiga bulan pendapatan kita. Andaikan kita memperolehi sebanyak RM 2,000.00 sebulan, maka saiznya mestilah RM 6,000.00 buat permulaan. Sekarang kita boleh lihat, untuk membina simpanan kecemasan dengan saiz yang paling kecil ini, masa yang lama diperlukan. Andaikan kita tidak mengusik langsung pendapatan bulanan kita, masa yang diperlukan ialah tiga bulan, paling minima.
Pada pendapat saya, kita belum berada dalam keadaan ekonomi yang stabil apabila kita memperolehi pekerjaan, Kehidupan kita belum terjamin apabila bisnes kita berjaya dilancarkan. Namun begitu, kita boleh menarik nafas lega sekiranya kita berjaya membina tabung kecemasan ini. Lagi besar saiznya, lagi panjang nafas lega yang boleh kita tarik. Tabung ini amat penting sebagai persediaan kita untuk masa yang sukar. Masih ingat kepada Saiful Mustaqim? Langkah pertama Saiful Mustaqim dalam perancangan kewangannya ialah mewujudkan tabung simpanan kecemasan.
Teknik pertama; simpanan tetap bulanan.
Bermula dari sen yang pertama kita terima, asingkan setiap bulan sebagai peruntukan untuk membina tabung ini. Tidak semua di antara kita yang makan gaji, jadi mungkin konsep ini boleh diluaskan. Asingkan sebahagian dari apa yang kita terima (bayaran, komisyen, royalti) setiap kali mendapat bayaran. Saya tekankan disini, asingkan setelah duit diterima, bukan setelah duit dibelanjakan.
Konsep menabung yang kita fahami semasa kecil ialah baki perbelanjaan wang saku yang kita bawa ke sekolah yang akan kita masukkan ke dalam tabung. Saya perkenalkan konsep yang lebih baik, masukkan ke dalam tabung, sebelum kita ke sekolah. Dalam konteks sekarang, sebaik sahaja terima gaji/pendapatan, terus asingkan ke dalam tabung kecemasan ini. Inilah teknik membina tabung kecemasan yang paling efektif, setakat pengetahuan saya.
Perbelanjaan = Pendapatan – Simpanan
Simpanan = Pendapatan – perbelanjaan
Persamaan yang pertama di atas menunjukkan walaupun kita tida mempunyai wang yang cukup untuk berbelanja, simpanan masih dapat dilakukan. Dalam persamaan yang kedua pula apabila kita tidak cukup belanja, kita tiada simpanan. Konsep inilah yang selalu diwar-warkan oleh kebanyakan pakar pengurusan kewangan, dikenali sebagai; Pay Yourself First. Saya mengesyorkan kita bermula pada tahap 10% dari apa yang kita perolehi. Sedikit demi sedikit, cuba tingkatkan kepada 25% setiap bulan.
Masih ingat kepada Saiful Mustaqim? Saiful Mustaqim mendapat pekerjaan dengan gaji permulaan sebanyak RM 1,000.00. Saiz tabung kecemasan yang diperlukannya ialah RM 3,000.00. Jika dia menyimpan 10% daripada gajinya, iaitu RM 100.00, dia memerlukan 30 bulan untuk mencapai saiz ini, iaitu selama dua tahun enam bulan. Kasihan Saiful Mustaqim, lagi dua tahun setengah abru dia boleh menarik nafas lega.
Tempoh masa inilah yang merupakan tempoh minima bagi membina simpanan kecemasan yang kita bincangkan tadi, sekiranya kita menggunakan teknik pertama ini SAHAJA. Teknik seterusnya pula akan membantu kita menyingkatkan masa tersebut.
Teknik kedua; hidup dibawah kemampuan.
Kita biasa dengar istilah hidup ikut kemampuan. Bagaimana pula untuk hidup dibawah kemampuan? Ramai yang pasti sukar untuk terima konsep hidup dibawah kemampuan kerana sinonim dengan istilah tangkai jering, kedekut dan sebabagainya. Saya ingin nyatakan, terlampau berjimat cermat memang akan menjadikan hidup kita lekeh, dalam keadaan yang kekurangan walhal kita mampu. Hidup sebegitu memang tidak seronok.
Untuk hidup dibawah kemamppuan, kita memerlukan borderline atau had di mana kita harus berjimat dan di mana kita tidak perlu berjimat. Dalam artikel ini saya mengesyorkan tiga ‘had’ untuk kita patuhi. Bergantung kepada individu, had ini boleh ditambah, tapi jangan sekali dikurangkan. Hiduplah dibawah kemampuan kita melainkan dalam tiga perkara;
- Keagamaan
- Kesihatan
- Kekeluargaan(*).
Dalam bidang keagamaan, kalau kita mampu bersedah sekian banyak, jangan dikurangkan. Kalau kita mampu menunaikan haji, jangan ditangguhkan. Kalau kita mampu melaksanakan ibadah korban yang hanya setahun sekali, jangan ditinggalkan.
Dalam bidang kesihatan, jangan kerana mahu menjimatkan wang, kesihatan kita terjejas. Dapatkan rawatan jika perlu. Kesihatan juga meliputi faktor pemakanan. Janganlah kerana hendak berjimat, mi segera menjadi makanan ruji. Makanlah dengan sihat, yang harus dijimatkan ialah makan diluar dan makanan segera sahaja.
Kenapa saya letakkan tanda (*) di kekeluargaan? Kerana Faktor ini perlu diteliti lebih berbanding yang lain. Jangan kerana menjimatkan duit untuk membina simpanan kecemasan sehingga belanja anak-anak dikurangkan, belanja isteri dipotong. Duit boleh dicari, anak tiada ganti, isteri? Peringatan yang harus diambil berat ialah keluarga yang kadang kala mengambil kesempatan ke atas diri kita untuk meminjam wang, memohon bantuan, atas nama kekeluargaan.
Jangan salah anggap. Friends indeed is friends in need. Apa lagi keluarga. Jika mereka benar-benar memerlukan, bantulah dengan penuh kemampuan. Terlampau banyak ‘jangan’ yang saya gunakan dalam perenggan sebelum ini. Perkataan inilah kunci kepada hidup dibawah kemampuan. Jika mampu berkereta waja, belilah wira. Itu pesanan saya.
Masih ingat kepada Saiful Mustaqim? Saiful Mustaqim mengamalkan teknik yang pertama tadi. Teknik membina tabung kecemasa yang kedua ini berpotensi meningkatkan simpanan tetap bulananya kepada 15%. Sekarang, Saiful Mustaqim mampu menyimpan RM 150.00 sebulan. Untuk mencapai RM 3,000.00 dia memerlukan tempoh 20 bulan iaitu satu tahun lapan bulan. Lebih baik daripada tadi, bukan?
Teknik ketiga; Duit terpijak, ialah duit tak nampak.Teknik Untuk Membina Tabung Kecemasan Dalam Masa 12 Bulan.
Teknik ketiga ini berkait rapat dengan ‘rezeki’ kerana ia datang dari ‘jalan yang tidak disangka-sangka’. Saya akan biarkan yang lebih arif mengulas bab ini, tapi saya yakin, sebahagian besar faham dan pernah mengalami sendiri perkara itu. Ada masanya kita dapat rezeki dalam bentuk yang kita tidak dirancang, seperti situasi berikut;
- Orang yang telah lama meminjam duit daripada kita tiba – tiba membayar kembali hutangnya.
- Menang peraduan / pertandingan / cabutan bertuah. (loteri dan judi tidak masuk dalam kategori ini!).
- Ada orang berminat membeli sesuatu milik kita yang kita telah lama tak pakai.
- Mendapat bonus daripada majikan.
- Mendapat ‘bonus’ daripada ‘majikan’.
Perasaan seronok mendapat rezeki seperti ini memang tidak dapat digambarkan. Bagaimana pula kita habiskan? Nasihat saya, jangan dibelanjakan. Terus masukkan ke dalam simpanan kecemasan kita, kerana inilah teknik membina tabung kecemasan yang ketiga.Anggaplah duit yang terpijhak sebagai duit yang kita ‘tak nampak’. Bila kita tak nampak, bermakna kita tidak belanjakan. Terus simpan sahaja.
Masih ingat kepada Saiful Mustaqim?Dia mendapat bonus separuh bulan gaji bagi setelah setahun bekerja, iaitu RM 500.00. Keseluruan bonus itu dimasukkan dalam simpanan. Saiful Mustaqim mengenepikan keinginannya untuk membeli jam mahal kerana dia mengamalkan teknik kedua tadi. Keputusan ini membuatkan saiz simpanan kecemasan yang diperlukan tadi boleh dicapai dalam masa 17 bulan, iaitu satu tahun lima bulan. Nasib Saiful Mustaqim bertambah baik. Itu bukan nasib, tapi usaha sebenarnya.
Teknik keempat; Mencari pendapatan sampingan.
Walaupun ini merupakan pekara pertama yang sering terlintas di fikiran kita apabila ingin menabung, saya suka meletakkannya sebagai teknik yang keempat. Kenapa perlu mencari sesuatu yang diluar sedangkan kita boleh bertindak dengan apa yang sudah sedia ada pada kita? Walau bagaimanapun saya akui, teknik inlah yang kadang kala memberikan pulangan paling besar. Seperti mana – mana pelaburan, saiz pulangan adlaah berkadar langsung dengan saiz risiko. Lagi besar pulangan, lagi besar risikonya.
Hanya ada satu sahaja pantang kepada teknik ini. Jangan sekali-kali menggunakan tabung kecemasan sedia ada sebagai modal untuk mencari pendapatan sampingan. Dalam skala kecil-kecilan, banyak sebenarnya pendapatan sampingan yang boleh terhasil tanpa modal wang ringgit, tapi hanya bermodalkan kudrat dan kepandaian. kadang kala pendapatan ini datang sendiri dari majikan sedia ada, contohnya bayaran lebih masa.
Duit yang diperoleh daripada bayaran lebih masa janganlah sebagai pendapatan tetap kita kerana ia bergantung sepenuhnya kepada ada atau tiada kerja lebih masa yang perlu dilakukan. Kerana ia bukan pendapatan tetap, tidak seharusnya ia dibelanjakan. Simpan terus kedalam tabung kecemasan kita.
Pendapatan sampingan juga boleh dijana dengan berniaga kecil – kecilan, bagi yang ingin mecuba, asalkan tidak menggunakan tabungan sedia ada sebagai modal kepada perniagaan ini. Begitu juga dengan kemahiran sedia ada. Sekiranya kita mampu membaiki sesuatu, apabila diminta oleh kawan, lakukan dengan caj yang berpatutan. Jangan sekali – kali melakukan dengan percuma. Sekiranya kawan anda seorang sahabat yang baik, dia juga tidak akan minta pertolongan secara percuma. Jika balasan bukan dalam bentuk wang ringgit, juga boleh dipertimbangkan jika ia mendatangkan keuntungan.
Masih ingat kepada Saiful Mustaqim? Saiful Mustakim mahir dalam pendawaian elektrik. Kadang kala ada rakan sekerjanya yang meminta tolong untuk menambah plug, memasang lampu, dan sebagainya. Saiful Mustaqim juga menjual secara kecil kecilan makan suplement yang kadang kala laku, kadang kala tidak. Walaupun tidak setiap bulan Saiful Mustaqim mendapat keuntungan, jika dikira puratanya, Saiful Mustaqim mendapat RM 70.00 sebulan sebagai pendapatan sampingan. Duit ini langsung tidak dibelanjakan kerana dia sedang mengamalkan teknik keempat membina tabungan kecemasan; kesemua pendapatan sampingan dimasukkan ke tabung ini.
Sekarang Saiful Mustaqim hanya memerlukan 11.4 bulan untuk mencapai saiz tabung kecemasannya, atau digenapkan kepada 12 bulan, iaitu setahun.
Teknik Membina Tabung Kecemasan Dalam Masa 12 Bulan.
Dengan kata lain, Saiful Mustaqim hanya perlu besabar dalam tahun pertama sahaja untuk mencapai tabung kecemasan yang bersaiz tiga kali ganda pendapatannya. Ini mengambil kira faktor minima, simpanan bulanan terendah 10%, bonus setengah bulan gaji, part-time yang hanya menjana tujuh puluh ringgit sebulan. Bangai mana kalau faktor ini berubah? Contohnya mampu menyimpan dengan lebih banyak. Bonus yang diterima lebih besar. Pendapatan sampingan yang lebih menguntungkan?
12 bulan tadi akan menjadi lebih singkat. Mungkin Saiful Mustaqim hanya perlu bersabar selama setengah tahun sahaja, tanpa meikirkan untuk membeli kereta baharu, berkahwin, atau membeli gadget mahal. Menarik bukan? Kita biasa dengar istilah pecutan akhir, tapi bagi saya dalam membina tabung kecemasan, kita memerlukan pecutan awal. Lagi cepat tabung ini lengkap, lebih stabil hidup kita.
Dalam usaha Saiful Mustaqim, dia telah belajar berjimat, menguruskan kewangan dengan baik, malah mencari sumber kedua pula. Segalanya untuk mengumpul tabung kecemasan bersaiz tiga bulan dengan cepat. Apa pula langkah seterusnya?
Langkah seterusnya amat luas dan bebas. Mungkin tabung duit muka rumah, mungkin tabung pergi umrah, mungkin tabung beli kereta cash, atau mungkin tabung untuk mula bisnes? Bebas memilih. Begitulah kepentingannya tabung kecemasan ini. Ia bukan sekadar untuk kecemasan, ia adalah ‘pokok’ yang menghasilkan buah durian yang pelbagai.
Saiful Mustaqim mula bekerja Isnin depan. Paling lewatpun, tahun hadapan dia sudah memperoleh jumlah simpanan yang diingini. Jika usahanya lebih, mungkin sekadar enam bulan. Kita pula bagaimana?
Baca juga: