Semasa kita merancangkan urusan kewangan, kita kena ada plan untuk menyediakan tabung kecemasan yang mana kita mungkin tidak akan kacau selagi kita tidak ada cemas untuk gunakan tabung ini.
Cemas ini agak subjektif, tapi pada saya cemas adalah tahap di mana contoh kita kena buang kerja, adik nak kahwin dan kita kena beri sokongan kewangan sedikit, mak nak pergi haji, abang mengalami eksiden dan perlukan wang untuk rawatan, ikat jamin dan sebagainya. Tapi jika ia adalah sendiri punya kahwin, tak bolehlah masuk ke tabung kecemasan ini.
Buat Simpanan Wang Yang Bijak
Setelah mengenal pasti apa itu tabung kecemasan, sekarang sampailah masa untuk kita merancang di mana untuk simpan duit itu. Bagi saya, terdapat 2 tempat yang saya praktikkan iaitu:
- ASB
- Tabung Haji
Persoalan, kenapa simpan duit di ASB dan Tabung Haji? Jawapannya mudah, simpanan tak luak dan dividen yang bagus. Senang cerita, kalau dalam masa 1 tahun nak kena pakai duit kecemasan tu duit tak ada luak, kalau 4 tahun baru nak pakai pun, sekurang-kurangnya duit dalam tu sudah berganda-ganda dengan dividen yang diterima dari simpanan di tabung ini.
Apa yang paling penting adalah kedua-dua simpanan ini kena pakai buku jika nak keluarkan duit. Jadi kebarangkalian untuk keluarkan duit tu agak sukar. Kena jenis senang keluar, macam ATM, memang sudah tak jadi tabung kecemasan.
Jadi kalau cemas nak gunakan duit, kenalah cari buku yang diperlukan untuk keluarkan wang dan bila sudah ada buku, asal ASB dan tabung haji itu ada buka, sudah boleh kita keluarkan duit dari sana.
Pakai Kad Kredit Untuk Kecemasan
Ada satu lagi tempat yang boleh kita gunakan wang untuk kecemasan, iaitu kad kredit. Ni kalau sangat cemas dan tak boleh tunggu sampai esok maka kad kredit memang sangat berguna bila ada kecemasan perlu pakai duit dengan segera. Tapi perlu anda pastikan bahawa bila sudah masuk bil dan sampai masa untuk bayar hutang kad kredit itu, perlulah anda bayar tepat pada masa.
Simpan Emas
Ada juga orang yang simpan emas sebagai tabungan kecemasan.
Contoh ada 10 bulan gaji, maka 20 gram public gold ada 10 keping. Bila nak pakai duit cemas, jangan jual emas tu tapi boleh pergi gadai di kedai gadai. Lepas tu boleh tebus balik. Seelok-eloknya nilai tabungan kecemasan tu bersamaan dengan 6 bulan gaji.
Jangan Melabur Kalau Tiada Tabungan Kecemasan
Kalau anda tiada buat simpanan untuk tabungan kecemasan, maka tak perlulah anda fikir untuk melabur dahulu. Dengan kata lain bila sudah ada tabung kecemasan, barulah boleh anda mula pertimbangkan untuk melabur.
Kenapa? Ini adalah sebab selain perlu ada ilmu dan juga modal untuk melabur, kita sendiri perlu tahu bahawa membuat pelaburan memang mempunyai risiko di mana kita mungkin akan mengalami kerugian. Jika risiko kerugian ini menjadi nyata, tiba-tiba jika kita dilanda dengan kecemasan, kita sudah tak ada dana lagi.
Saya bagi contoh, katakan anda ingin melabur dalam hartanah. Semua duit simpanan anda habis untuk melabur dalam sesuatu hartanah. Kebetulan syarikat yang anda kerja ada masalah dan terpaksa memberhentikan pekerja.
Dengan ini mana anda nak cari wang untuk terus hidup sementara nak cari kerja baru. Mustahil kita boleh dapat duit dengan cepat dari hasil jualan hartanah.
Samalah juga kalau nak melabur dalam pasaran saham atau unit trust. Tak patut laburkan semua hingga tiada tabung kecemasan. Katakan dalam masa terdekat ada kecemasan, kan sudah rugi sikit sebab kena keluarkan duit dari saham atau pun unit trust.
Jadi itulah kesimpulannya selain ada ilmu, kena kita menyediakan tabung kecemasan yang tak boleh dicampur aduk dalam instrument pelaburan.
Cadangan saya
Adalah baik untuk anda simpan 10% dari gaji bulanan anda sebagai tabung kecemasan. 10% itu adalah minimum, kalau boleh simpan lagi apa salahnya. Apa yang penting di sini ialah bila sudah cukup tabung kecemasan, barulah venture dengan pelaburan lain. Simpanan tulah yang dikira sebagai tabung kecemasan.
Wang kecemasan setara dengan 6 bulan gaji dan diletakkan dalam ASB atau Tabung Haji sambil-sambil melabur. ASB senang nak cairkan kalau bawah RM 10,000 boleh keluarkan dari bank. Tabung Haji pula kalau link dengan akaun Bank Islam rasanya senang bawa keluar duit kalau perlukan untuk emergency.
Seperti negara kita yang mempunyai beberapa bulan rezab aset untuk menampung import negara, kita juga boleh praktik strategi penyimpanan tabung kecemasan sebegini dalam menampung beberapa bulan gaji sekiranya kita diberhentikan kerja. Perlu diingatkan juga komitmen perbelanjaan yang dibuat di luar penyata gaji mesti diambilkira juga.
ASB ni sebenarnya boleh jadi 2 dalam 1 di mana kita boleh sambil melabur sambil menyediakan tabung kecemasan. Boleh kita terus melabur dalam ASB bila tabung kecemasan sudah cukup sementara anda menunggu peluang pelaburan seterusnya
Sebab peluang pelaburan yang baik bukan datang tiap-tiap hari. Pastikan modal anda cukup dulu sementara menunggu peluang itu datang.