Dalam dunia globalisasi yang penuh mencabar hari ini, usahawan mahupun jurujual kini perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang tinggi serta kemahiran yang pelbagai bagi menghadapi cabaran dengan berani.
Akan tetapi, ilmu dan kemahiran itu tadi tidak akan bermakna sekiranya mereka tidak sedar apakah permasalahan sebenar yang dihadapi oleh bakal pelanggan mereka.
Kali ini saya akan dedahkan antara masalah utama yang diluahkan oleh para pembeli yang menjadi punca kepada urusan jual-beli tidak berlaku.
SELESAIKAN MASALAH ANDA!
Sekiranya anda dapati masalah ini boleh diatasi dengan segera, maka peluang untuk anda membuat jualan yang lebih tinggi adalah lebih cerah dan terjamin.
Apakah masalah utama yang biasanya diperkatakan oleh para pembeli ini?
Antaranya adalah termasuk:
- Jurujual tidak mempedulikan pembeli
- Jurujual tidak menepati masa
- Jurujual tidak tahu kehendak pembeli
- Jurujual cakap terlalu banyak
- Tiada persefahaman antara jurujual dan pembeli
- Jurujual tidak yakinkan nilai produk yang ingin dibeli
Setelah membaca ke enam-enam masalah yang saya senaraikan tadi, mungkin ada di kalangan anda berbisik kecil dalam hati bahawa ini adalah masalah kecil tak perlu diberi penekanan.
Baiklah sekiranya anda merasakan masalah ini tidak perlu dititik-beratkan, cuba lihat apakah yang akan terjadi sekiranya anda berada di pihak pembeli?
Mesti anda juga turut merasakan tidak dihargai dan kurang senang untuk berurusan dengan jurujual yang bersikap sedemikian rupa?
Jika anda benar-benar ingin menjadi seorang jurujual yang hebat dan jualan anda sentiasa dalam keadaan mencanak naik, ikuti 6 langkah segera perlu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.
Langkah #1. Jadilah Pendengar Setia
Kebanyakkan jurujual yang ada pada hari ini semakin kurang memberi penekanan kepada aspek mendengar. Apa yang mereka tahu hanyalah bercerita mengenai produk dan juga perkhidmatan mereka tanpa diminta.
Konteks menjadi pendengar setia di sini adalah apabila anda sudah membuat temu janji khas dengan bakal pelanggan anda. Bila bakal pelanggan anda sudah berada di hadapan mata anda maka selami terlebih dahulu apakah yang bermain di fikiran mereka.
Sebagai contoh, mereka seringkali menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos perubatan di hospital. Bilamana mereka sudah mula bercerita mengenai isu ini, jika anda sebagai agen insurans, anda sudah kenal pasti masalah utama bakal pelanggan anda.
Untuk mengorak langkah yang seterusnya adalah lebih mudah dan sesi Close Sale akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Langkah #2. Tepati Masa
Faktor menepati masa adalah salah satu ciri yang dipandang tegas oleh ramai pihak terutamanya golongan professional.
Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, apa kata anda hadir 30 minit lebih awal dari masa temu janji anda dengan mereka.
Perumpamaan Better Late Than Never langsung tidak boleh diguna pakai kerana hal ini akan mencerminkan anda tidak bertanggungjawab menjaga kebajikan bakal pelanggan anda di masa depan.
Keperibadian anda akan memberi gambaran awal produk yang bakal anda tawarkan kepada mereka. Jika perkara ini anda dapat atasi, maka peluang untuk membuat jualan adalah lebih tinggi!
Langkah #3. Fahami Kehendak Pembeli
Keutamaan dalam urusniaga jual-beli adalah dengan memenuhi kehendak dan permintaan daripada bakal pelanggan.
Sekiranya kehendak dan permintaan ini tidak diambil kira, maka mustahil untuk anda membuat sebarang jualan.
Bagaimana untuk mengetahui kehendak daripada pembeli?
Mudah sahaja, bina permasalahan yang membimbangkan bakal pembeli anda.
Sebagai contoh anda sebagai jurujual produk kecantikan. Cuba ceritakan berita-berita yang membuatkan bakal pembeli anda ingin mengambil tindakan drastik seperti 80% pekerja dipecat kerana tidak menjaga penampilan diri serta tidak terurus. Beri pilihan kepada bakal pembeli anda dengan menggunakan produk kecantikan anda, mereka akan kelihatan cantik menawan dan berpotensi untuk naik pangkat lagi.
Langkah #4. Lebihkan Bertanya Daripada Bercakap
Menjadi seorang jurujual yang hebat dan berkaliber adalah dengan menggalakkan bakal pelanggan anda bercakap banyak dan anda memberi sepenuh perhatian kepada apa yang hendak disampaikan oleh mereka.
Konsepnya cukup mudah, jika anda prihatin dan mengambil berat terhadap bakal pelanggan anda maka anda telah selangkah untuk membuat jualan.
Sudah menjadi fitrah dan naluri manusia untuk dihargai. Jika anda dapat menguasai emosi dan minda mereka serentak, maka jualan akan berlaku!
Langkah #5. Bina Persefahaman Yang Baik
Jarang sekali kita lihat para pembeli akan membuat pembelian ulangan dengan penjual sekiranya mereka tidak membina persefahaman yang baik antara mereka.
Menjadi jurujual adalah kita ingin mengurangkan tenaga dan kos kita untuk mencari bakal pelanggan yang baru. Kita akan lebih senang menjual kepada para pelanggan yang pernah membeli daripada kita sebelum ini.
Mereka sudah arif dan selesa dengan perkhidmatan dan layanan yang kita berikan. Jadi tidak hairanlah jualan akan lebih meningkat naik sekiranya kita bersikap baik terhadap pelanggan sedia ada.
Langkah #6. Beri Jaminan Kualiti Produk
Bagaimana para pembeli akan membeli daripada kita sekiranya kita sendiri tidak yakin dengan produk yang kita tawarkan.
Andai kata kita menjual baju kalis peluru. Kalau kita tidak yakin yang baju itu dapat menangkis apa sahaja peluru yang mengenainya, maka siapa akan membeli daripada kita?
Cuba kita pakai baju kalis peluru itu dan bakal pembeli memegang sepucuk pistol bersedia untuk menembak ke arah baju yang kita pakai. Jika kita mati maka pembeli tidak perlu membeli daripada kita, akan tetapi jika kita hidup sah pembeli perlu beli 100 unit baju kalis peluru itu daripada kita. Adakah anda seyakin itu?
Inilah diantara langkah-langkah awal yang perlu diambil sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku yakni tiada sebarang jualan berlaku.
Baca juga: