Web Analytics

Kenapa Susah Wujud Aliran Tunai Positif Untuk Kewangan Peribadi?

Setiap hujung bulan ramai yang merungut duit sudah tiada sedangkan gaji hanya akan diterima pada minggu hadapan. Bagaimana pula kalau situasi tersebut berlaku di tengah bulan? Lebih malang lagi selepas seminggu gaji, terpaksa menebalkan muka meminjam duit saudara mara atau sahabat.

aliran tunai

Apakah yang dikatakan dengan aliran tunai positif (positive cashflows)?

Anologinya mudah. Ali diberi dua ringgit sehari sebagai duit belanja persekolahan. Ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku.

  1. Ali pulang dengan sejumlah baki di tangan.
  2. Ali pulang dengan kesemua duitnya telah dihabiskan.
  3. Ali pulang dan memberitahu bapanya dia berhutang sejumlah duit dengan kawannya.

Dalam ketiga-tiga keadaan di atas, hanya kemungkinan pertama sahaja yang dipanggil aliran tunai positif. Bagaimana untuk memperolehi situasi yang pertama bagi mereka yang makan gaji?

Kenalpasti aliran masuk bagi pendapatan kita

Senaraikan punca pendapatan bulanan kita. Setiap satu, secara terperinci. Bilakah wang tersebut akan diterima? Berapa banyakkah akan diterima? Dalam bentuk apakah wang tersebut akan akan diterima? Ke dalam akaun mana wang tersebut akan dimasukkan. Gaji mungkin menjadi sumber pendapatan utama. Tapi jangan pula tidak diambil kira pendapatan sampingan seperti sewaan hartanah atau mungkin bisnes sampingan yang kita ada.

Sekiranya sumber sampingan ini kita abaikan, kita akan sentiasa beranggapan kita sentiasa mempunyai ‘duit lebih’ yang akan muncul disaat-saat kita memerlukan. Sekiranya keseluruhan pendapatan kita diambil kira, barulah kita tahu kapasiti sebenar kewangan kita.

Aliran tunai positif gagal diwujudkan kerana kita gagal mengenalpasti aliran keluar tunai.

Jika pendapatan merupakan punca duit masuk ke dalam poket kita, perbelanjaan pula adalah punca duit keluar dari poket kita. Terdapat komitmen bulanan yang perlu dibayar secara tetap. Kebiasaanya komitmen ini ialah aliran keluar yang terbesar dalam kira-kira akaun kewangan peribadi kita. Kenapa penting untuk kita ketahui jumlah ini?

Jumlah ini dapat menentukan ‘kesihatan’ kewangan kita. Berapakah baki dari pendapatan kita yang tinggal setelah ditolak komitmen ini? Ansuran rumah, ansuran kereta, pinjaman peribadi, yuran persekolahan anak-anak, langganan bulanan astro dan sebagainya, yang mempunyai jumlah yang tetap. Sekiranya baki wang kita dibawah 60%, pada pendapat, situasi itu dianggap sebagai tidak sihat, kecuali jika kita telah bersara.

Kemudian anggarkan perbelanjaan tetap bulanan lain yang berubah ubah, contohnya bil air, bil elektrik dan bil telefon. Bayaran sebegini tidak tetap setiap bulan, tetapi bergantung kepada penggunaan. Bermakna, ianya boleh dijimatkan. Perbelanjaan dapur, perbelanjaan kereta, dan bersuka ria (termasuk rokok) juga termasuk dalam kategori ini. Ianya boleh dijimatkan.

Semakin terperinci kita dalam mengenalpasti aliran keluar ini, semakin cerah peluang kita hendak mewujudkan aliran tunai yang positif dalam pengurusan kewangan peribadi kita.

Langkah pertama dalam memastikan hidup tidak dicengkam masalah kewangan.

Selagi kita tidak mempunyai positive cashflow amat sukar untuk membebaskan diri dari belenggu hutang dan mencapai kebebasan kewangan yang sebenar. Kita banyak mendengar pelbagai jenis peluang untuk menggandakan duit. Peluang untuk memulakan perniagaan. Teknik untuk mencipta kekayaan. Tidak semuanya betul, tapi ada yang benar.

Bayangkan jika kita mencuba salah satu dari perkara tersebut dan gagal, dalam keadaan aliran tunai kita masif negatif. Dalam keadaan duit gaji tidak cukup setiap bulan kita ‘labur’kan pula sehingga lebur. Seolah-olah jatuh ke dalam pasir jerlus, kita semakin dihimpit masalah kewangan. Sebelum mencuba apa-apa jalan untuk kaya, langkah pertama ialah memperbetulkan aliran tunai kewangan kita.

Ada pendapat yang mengatakan cash is king. Walaupun saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan pendapat ini, harus diakui ada kebenaran dalam didalamnya. Cubaan untuk mencipta kekayaan dengan berhutang (leverage) adalah berisiko tinggi, sesuai dengan pulangan tinggi yang mungkin (tidak dijamin) boleh diperolehi. Sekiranya tersilap langkah, seorang ‘jutawan’ hartanah boleh jatuh muflis dan menyaksikan satu persatu hartanya dilelong.

Langkah pertama ialah: memastikan aliran tunai kita positif.

Keluar dari aliran tunai negatif.

Setelah senarai tadi dibina, kenalpasti aliran keluar yang boleh dihapuskan. Membeli sekotak rokok sehari boleh menjimatkan duit sebanyak RM17 ringgit sehari (berdasarkan harga rokok semasa). Begitu juga dengan memotong langganan Astro. Menonton wayang, minum di starbuck dan sebagainya. Situasi ini boleh melahirkan rasa tertekan sebenarnya.

Setelah penat bekerja, sudah tentu kita mahu berhibur (sedikit). Bagi saya ianya tidak salah, jika anda berada dalam aliran tunai positif. Saya berikan satu contoh ekstream. Setelah penat mengerjakan sawah, pak Ali mahu keluar ke pekan menonton wayang dengan kereta BMW 5 series kerana mahu menikmati hidup. Berapa lama sebelum seluruh tanah sawah itu akan tergadai?

Bagi memperolehi aliran tunai positif sedikit kesenangan perlu dikorbankan.

Saya pernah menulis, tolak dahulu simpanan dari duit gaji sebelum dibelanjakan. Ini betul bagi mereka yang mempunyai positive cashflows. Bagi yang mempunyai beban perbelanjaan yang melebihi gaji, perkara ini ialah sia-sia. Pada penghujung bulan, simpanan itu pasti ‘dikorek’ kembali.

Langkah pertama masih: betulkan aliran tunai kita.

Penjimatan dari pengurangan perbelanjaan, bagaimana harus digunakan?

Katakanlah setelah mengikat perut dan nafsu, kita berjaya memperoleh sedikit aliran tunai, contohnya lebihan sebanyak RM100. Nilai ini kita perolehi setelah menolak perbelanjaan daripada pendapatan. Sekarang barulah kita layak untuk menyimpan RM100 daripada gaji kita secara kekal sebelum ianya dibelanjakan. Kita membayar diri kita sendiri terlebih dahulu sebanyak RM100 sebelum membuat bayran bil dan pembelian lain.

Apa yang kita akan lakukan dengan lebihan ini? Menyelamatkan duit ini dari perbelanjaan lain dan kemudian membelanjakannya pula kelain adalah satu langkah yang sia-sia. Kita akan kembali ke aliran tunai negatif, seperti asal tadi.

Apabila telah berjaya ke tahap ini, sasaran seterusnya ialah meningkatkan jumlah yang boleh disimpan. Tingkatkan jumlah dari RM100 kepada dua atau tiga kali ganda. Caranya ialah dengan membahagikan RM 100 tersebut kepada dua:

  1. Simpanan kekal.
  2. Simpanan pelaburan.

Simpanan kekal ialah simpanan yang melindungi modal. Antara contoh yang sesuai ialah Tabung Haji atau ASB. pastikan simpanan ini tidak diusik kecuali atas dua sebab. Dibahagikan sebagai harta pusaka, dikeluarkan secara berperingkat setelah bersara. Selagi dua perkara ini tidak berlaku, simpanan itu kekal di sana.

Simpanan pelaburan ialah simpanan yang boleh membuatkan modal kita menyusut atau berkurang. Contohnya kita menyimpan RM50, bulan hadapan ia akan menjadi RM 30 sahaja. Kenapa pula kita perlu melakukan sesuatu yang merugikan begitu? Kerana kita mempunyai kemungkinan untuk duit itu memberikan pulangan.

Kebiasaanya orang akan bercerita tentang pulangan sesuatu pelaburan sebelum mendedahkan risikonya. Perenggan di atas mendedahkan risiko sebelum pulangan. Kerana kebanyakan manusia hanya mendengar keuntungan, tanpa menimbang risiko.

Tidak salah mengambil risiko, malah kebanyakan mereka yang berjaya pada hari ini ialah mereka yang berani mengambil risiko. Dengan syarat kita bernani menaggung kerugian dalam risiko tersebut jika keuntungan gagal diperoleh.

Jika kita ingin memulakan perniagaan, gunakanlah modal dari simpanan pelaburan ini.

Kekalkan aliran tunai positif.

Setelah memperolehi aliran tunai yang positif kita perlu mengekalkan dan meningkatkannya. Hiduplah mengikut kemampuan. Betul? SALAH!

Hiduplah dibawah kemampuan. hidup di bawah kemampuan akan membuatkan kita lebih cepat mengumpul aset dan kekayaan. Pada pendapat saya, kita hanya boleh hidup mengikut kemampuan apabila kita dalam persaraan. “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian”.

Baca juga:

Leave a Comment

error: Content is protected !!