Web Analytics

Dropship Merupakan Pilihan Tepat Jika Tiada Modal Berniaga

Bulan Ramadhan adalah zon di mana para usahawan akan memaksimakan sebaik mungkin untuk beramal ibadat dan dalam masa yang sama seimbangkan dengan perniagaan.

Mengapa saya katakan bulan Ramadhan adalah satu tempoh yang cukup istimewa? Jika masih lagi belum ikuti kisah rakan saya yang berniaga hanya di bulan Ramadhan, bolehlah baca bersama.

dropship

Sebelum kita menjurus kepada berniaga di bulan Ramadhan, ramai yang tertanya-tanya bagaimana nak berniaga jika modal adalah terhad ataupun langsung tiada?

Saya di awal pembabitan untuk berniaga juga menghadapi persoalan dan masalah yang sama. Nak tahu tak? Perniagaan yang saya mulakan semasa peringkat awal pengajian di UiTM Shah Alam adalah menjual tudung. Tak percaya? Betul lah dan cerita ini adalah benar dan ini adalah kali pertama saya bongkarkan dengan anda semua. 😛

SAUDAGAR TUDUNG UITM SHAH ALAM

Pada mulanya saya sekadar ingin mencubanya sahaja. Maklumlah, amat jaranglah orang yang menjual tudung ni orang lelaki, ya dak? Biasanya yang anda(kaum hawa) jumpa mereka yang menjualnya adalah kaum hawa.

Produk sudah pun dipilih, tapi modalnya tiada. Saya mula mencari jalan bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan sepanjang pengalaman saya masalah ini akan dihadapi hampir 90% bagi mereka yang ingin memulakan sesebuah perniagaan.

Saya berkongsi idea saya ini dengan salah seorang kenalan di UiTM, kebetulan latar belakang keluarga beliau menjalankan perniagaan menjual tudung di Kelantan. Atas dasar kepercayaan, kami memulakan perniagaan secara perkongsian pertama dengan menjadikan keluarga beliau sebagai pembekal utama tudung kepada kami dan kami mengambilnya pada harga borong.

Istilah yang biasa diguna pakai adalah Consignment. Kami akan mengambil stoknya terlebih dahulu dan akan membayar balik setelah ada yang terjual. Adakah saya mengeluarkan modal untuk memulakan perniagaan tudung? Masalah saya berkenaan modal sudah pun selesai. Kini apa yang perlu saya lakukan adalah Promosi, Promosi dan Promosi!

Alhamdulillah, sepanjang saya menjalankan perniagaan tudung ini bukan hanya student yang beli bahkan kepada staff UiTM pun saya jual. Bila mana sudah mengenal pasti regular customer, kami mula membuat jualan dengan menunjukkan sample sahaja ataupun lebih dikenali kini sebagai Dropship dan mengambil tempahan berbanding pada awalnya dengan menggunakan konsep Cash on Delivery (COD) yakni membawa stok yang banyak ke mana sahaja.

Sampai satu ketika ramai siswi yang ingin mendaftar untuk menjadi sebahagian agen kepada jualan tudung kami. Popular jugalah saya sebab jadi tokey supply tudung.

Menarik berniaga menjual tudung ni. Saya cukup kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka yang menjadikan tudung sebagai perniagaan utama mereka. Mengapa saya dah tak jual tudung?

Kelemahan utama jika kita mengutamakan jualan secara borong adalah lebihan stok!

Bila kita membelinya secara borong walaupun pada harga yang amat murah, kita akan menghadapi situasi lebihan ataupun lambakan stok. Perlu diingat, menjual tudung perlu dijalankan dengan agresif kerana kadar perubahan fesyen dan trend begitu pantas. Pernah satu ketika saya menjual tudung Angkasawan, tudung Siti dan macam-macam lagi. Bila timbul tudung Yuna, tudung Siti dan Angkasawan sudah tidak lagi diminati.

Apa yang perlu dibuat?

Saya terpaksa jual dengan harga modal untuk menghabiskan stok-stok yang ada. Dalam berniaga, Cashflow amat-amatlah penting. Jika kita tidak menitik-beratkan soal cashflow, nescaya kita akan menghadapi masalah besar untuk berkembang lebih jauh. Macam-mana dengan Dropship?

Sample awal yang kita tunjukkan pada pembeli mula-mula mereka setuju, akan tetapi setelah sampai di tangan mereka masalah warna menjadi persoalan. Saya yakin dan pasti, bagi kaum hawa warna hijau daun pisang sekali pun ada kategorinya tersendiri. Walaupun perbezaan amat sedikit bagi mata kaum adam, namun ia adalah satu perbezaan ketara bagi mereka.

Timbul masalah pembeli ingin pulangkan tudung dan ingin meminta kembali duit mereka. Tapi jumlah ini tidak begitu ketara dan masih lagi dalam kawalan.

Setelah diteliti, saya lebih selesa menjual pakaian sukan lelaki yang di import dari Indonesia, Vietnam dan China. Amat mudah dan senang untuk dijual. Kena size dan corak serta warna, confirm sold! Saya tetap mengamalkan konsep yang sama iaitu borong dan juga Dropship. Saya pernah menjualnya secara Cat Boot Sale di hadapan Masjid Subang sebelum dan selepas Solat Jumaat. Itulah pengalaman berharga yang pernah dilalui.

Jadi jika anda masih lagi merungut tiada modal untuk memulakan perniagaan, saya sudah berikan cara penyelesaian yang boleh diambil dan bersempena kehadiran bulan Ramadhan ini, rebutlah peluang untuk melipat-gandakan pahala dan juga keuntungan berniaga.

Baca juga:

Leave a Comment

error: Content is protected !!