Apabila kita bercakap pasal makan gaji, sinonimnya ialah untuk mendapat kehidupan yang stabil. Tetapi adakah anda tahu apa dilema yang ada dalam hidup makan gaji? Setiap hujung bulan, terima sejumlah duit. Bagitulah kitaran seterusnya sehingga bersara.
Ada yang memilih sektor kerajaan, yang menjanjikan bayaran dengan peratus tertentu walaupun selepas berpencen (bersara), mungkin juga sektor swasta, yang menjanjikan gaji yang jauh lebih tinggi, atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berada di antara kedua contoh tadi. Walau apa pun pilihannya, makan gaji tidak lari dari permasalahan yang tersendiri.
Politik Pejabat
Pengampu, pemfitnah, lazimnya ada dalam setiap pejabat. Dalam organisasi sebegini, terutamanya dalam sektor kerajaan dan sektor swasta yang bersaiz besar di mana pejabat tidak dikawal oleh boss atau tuan punya organisasi itu sendiri.
Boss dalam istilah pejabat sebegini lebih kepada seorang penyelia, yang mempunyai boss mereka sendiri di peringkat yang lebih tinggi. Etika kerja, suasana kerja dan cara kerja lebih bergantung kepada ketetapan organisasi itu di peringkat tertinggi. Struktur yang begini mengundang beberapa kelemahan.
Prestasi kerja individu amat bergantung kepada penilaian penyelia di atasnya. Hubungan yang baik dengan penyelia boleh melindung kekurangan seseorang manakala hubungan yang buruk akan menetup kelebihan lain individu tersebut.
Dari situlah wujudnya dilema politik pejabat, sama ada mengampu atau menganiayai seseorang. Kemahiran dari segi skill kerja juga amat bergantung kepada apa perlu diuruskan oleh individu itu sendiri. Kadang kala potensi wujud dalam individu, tapi oleh kerana tugasannya terlampau rutin setiap hari, tiada perkembangan positif yang diperoleh walau telah bertugas untuk jangka masa yang lama.
Masa Yang Tidak Boleh Dikawal
Biasanya bekerja makan gaji akan menyebabkan seseorang terikat dengan masa yang telah ditetapkan oleh syarikat itu. Walaupun memang ada jawatan yang agak fleksibel dari segi masa, namun biasanya tempat ini merupakan hot seat yang sentiasa menjadi rebutan dalam pejabat.
Bagi yang selebihnya, waktu bekerja itu adalah telah ditetapkan dan perlu dipatuhi. Kadang-kala, gagal menepati seminit dua waktu ini akan memberikan kesan yang buruk terhadap pandangan majikan. Keadaan ini menyebabkan ada yang terpaksa mengorbankan masa sendiri demi menyiapkan tugasan. Kepentingan peribadi terpaksa diketepikan dalam melaksanakan tugas.
Bagi yang menyandang jawatan yang rendah dan pertengahan, mungkin bertugas di luar masa akan memberikan ganjaran dari segi bayaran, namun bagi decision maker, tiada istilah overtime bagi mereka, kebanyakan masa terpaksa dikorbankan begitu sahaja, walaupun memiliki gaji yang besar, namun kadangkala ia tidak berbaloi.
Kadang kala kita ada terdengar runguan, pemandu yang rajin melakukan overtime, menerima jumlah pendapatan bulanan yang amat hampir dengan orang yang dibawanya. Ini adalah sekadar contoh dan tidak benar secara am, tapi ada berlaku.
Apa Pendapatan Selepas Pencen?
Jawapan yang dicari kebanyakan orang yang makan gaji apabila menghampiri tarikh persaraan. Setelah berkhidmat berpuluh tahun, apakah ganjaran yang akan diberikan oleh majikan? dan yang lebih penting apa pula ganjaran yang boleh diberi kepada diri sendiri? Walaupun biasanya sejumlah wang diperoleh, namun ramai yang bersungut ia tidak mencukupi dan akan habis dalam masa yang singkat.
Ada yang terpaksa pula mencari kerja lain yang kurang sesuai dengan umur, tapi terpaksa dilakukan untuk menampung kehidupan. Gaji bagi kerja yang sebegini adalah sedikit, dan masa yang diperlukan boleh tahan panjangnya.
Jadi, persaraan itu langsung tidak menjadi masa bagi seseorang itu untuk berehat. Lebih memeritkan lagi sekiranya kita masih mempunyai tanggungan yang perlu disara, mungkin masih di sekolah, di universiti dan sebagainya.
Rasa Tersalah Pilih kerjaya?
Semasa mencari bekerja ramai yang berjanji sanggup memberikan komitmen dan bekerja keras. Namun sebaliknya berlaku setelah lama bekerja. Pekerja menjadi kurang bersemangat. Tidak dapat disalahkan pekerja semata-mata, kerana adakalanya kebajikan mereka terabai.
Ada kalanya usaha mereka tidak dihargai, dan ada kalanya mereka memang malas. Namun begitu, kebanyakannya berpunca dari tidak mengetahui selok belok sebenarnya kerja yang perlu dilakukan. Majikan sendiri gagal menerangkan apakah skop kerja, menyebabkan pekerja tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan yang tidak perlu dilakukan.
Dalam pelbagai dilema makan gaji ini, ramai yang bertanggapan, mungkin lebih baik jika bekerja sendiri daripada makan gaji. Sejauh mana kebenarannya hanya mereka yang pernah lalui keduanya yang boleh memberikan pendapat. Itupun mungkin ada pendapat yang bertentangan kerana telah melalui jalan yang berbeza.
Makan gaji memberikan masalah yang tersendiri, namun, apapun masalah yang dihadapi, penyelesaiannya bermula diri sendiri.
Sama ada kita perlu memajukan diri untuk berkhidmat dengan lebih baik, merancang kewangan dengan lebih sempurna untuk bekal persaraan atau mengubah kerjaya sepenuhnya.
Baca juga: