Setiap rumah ada stor, setiap bilik ada almari. Sebagaimana tabiat lumrah manusia kita suka mengumpul, membeli barang bukan keperluan, yang akhirnya menjadikan rumah sendiri semak berselerak.
Jika apa yang kita ada, adalah apa yang kita perlu, kemungkinan besar kita akan mempunyai ruang yang lebih lapang, teratur dan kemas.
Bukan mudah untuk membuang begitu sahaja barangan yang tidak lagi diperlukan, tapi bagaimana pula kalau kita boleh tukarkannya kepada wang?
Azam dan Rancang Untuk Bermula
Mungkin kita mahu melakukan operasi besar-besaran mengemas rumah, menyisihkan barang yang tidak berguna. Semua itu memerlukan masa dan tenaga, menyebabkan kita sering menangguhkannya.
Bagaimana pula kalau ada cara yang lebih mudah? Pembersihan dalam skala kecil tapi dilakukan secara berterusan dan konsisten. Mungkin setiap minggu, atau setiap bulan. Ataupun mungkin satu barang setiap minggu.
Tetapi, semua itu tiada gunanya sekiranya kita masih lagi membeli barang yang tidak kita perlukan. Lambat laun ia akan bertukar menjadi ‘sampah’ yang memakan ruang di kediaman kita.
Mulakan di situ.
Mulakan untuk tidak membeli barang yang kita tidak perlukan. Persoalkan setiap pembelian yang akan kita buat dan bagaimana barang yang dibeli itu akan memberi sumbangan kepada kehidupan kita. Boleh gunakan Teknik Senarai 28 Hari seperti yang pernah saya tulis sebelum ini.
Mulakan Dengan Kriteria
Ambil masa untuk duduk dengan sekeping kertas dan pen (mungkin juga telefon bimbit). Senaraikan apakah ciri barang yang kita rasa tidak lagi kita perlukan. Ciri-ciri ini adalah merupakan syarat yang akan kita gunakan untuk menyisihkan barang yang hendak ditukarkan kepada duit dan barang yang masih perlu kita simpan.
Antara contoh kriteria atau ciri barang yang disisihkan ialah seperti berikut;
- Barang tersebut tidak pernah digunakan sejak dibeli.
- Bagi pakaian, saiznya tidak lagi muat.
- Buku tidak lagi relevan dan berguna (biasanya buku rujukan).
- Ada lebih dari dua barang yang serupa, tapi kita hanya perlukan satu.
- Lain – lain ciri yang sesuai.
Proses Menyisih
Mulakan dengan mengosongkan satu ruang, atau menyediakan satu kotak yang cukup besar. Kemas bermula dari satu ruang ke satu ruang yang lain. Tidak semestinya kesemua ruang perlu diselesaikan dalam masa satu hari. Hatta sebuah bilik sekalipun, kita boleh bermula dengan mengemas almari sahaja.
Semasa melakukan penyisihan ini, tanya diri sendiri sama ada barang yang dikemaskan menepati kriteria yang kita tetapkan lebih awal tadi. Jika ya, simpan ke dalam kotak atau di ruang yang telah kita tetapkan sebelum bermula tadi.
Pada peringkat ini jangan difikirkan sama ada benda itu boleh dijual atau tidak. Sisihkan sahaja, dan yang penting senaraikan setiap item yang disisihkan itu. Boleh juga sertakan keadaan barang tersebut dalam senarai itu. Daripada senarai ini, cuba tentukan sama ada barang itu boleh;
- Disedekahkan.
- Dijual.
- Dibuang.
Proses Menukarkan Barang Terpakai Kepada Wang
Proses ini dinamakan menjual. Semua orang tahu, tapi ramai yang tidak yakin untuk melakukannya. “At the right price, anything can be sold”. Itu adalah prinsip yang harus kita percaya. Sedangkan botol kicappun ada nilainya sekiranya kita menemui pembeli yang betul, begitulah juga dengan barangan lain. Lihat gambar di bawah.
Keuntungan yang diperoleh biasanya sedikit. Untuk meastikan usaha kita berbaloi, seringit dua yang kita perolehi dari jualan barang lama ini, jangan dibelanjakan. Sebaliknya letakkan di satu akaun/tabung yang kita tidak usik sehingga jumlahnya menjadi significant. Contohnya kita hanya akan belanjakan sekiranya ia mencecah RM 100.00.
Bagaimana Menjual Barang Terpakai Secara Online
Kelebihan menjual secara online ialah ia menjimatkan masa. Kita akan mengiklankannya dan hanya perlu bertindak jika ada bakal pembeli yang bertanya. Banyak medium yang boleh digunakan dari e-Bay sehinggalah kepada laman sosial, bergantung kepada kesesuaian barang yang ingin dijual.
Buat Kajian Sebagai Pembeli
Untuk menjual, terlebih dahulu kita perlu melihat dari kaca mata pembeli. Lakukan carian tentang produk yang kita ingin jual sebagai pembeli. Caranya ialah dengan menggunakan enjin carian dengan perkataan yang betul. Contohnya;
- WTS “barang” – WTS bermaksud ‘want to sell.
- WTB “barang” – WTB bermaksud want to buy.
- “barang” second hand / terpakai / preloved.
- jual “barang”
- nak let go “barang”
*”barang” ialah item yang ingin kita jual.
Setelah mendapat gambaran bagaimana orang lain menjual barang yang sama seperti yang ingin kita jual, kita akan dapat memerhatikan perkara berikut;
- Dimana ia dijual.
- Keadaan barang dijual.
- Harga barang dijual.
- Siapa yang berminat untuk membeli.
Apabila maklumat dia ats diperolehi ia akan dapat banyak membantu. Sebagai contoh, mengiklankan sebuah kamera terpakai di forum fotografi lebih mendapat sambutan daripada di laman Mudah. Berdasarkan pemerhatian tadi, kita akan mengiklankan sendiri barang yang ingin kita tukarkan kepada tunai.
PANDUAN MENGIKLANKAN BARANG JULAN
- Pastikan ejaan barang adalah betul.
- Sertakan tarikh asal pembelian
- Pastikan model yang betul disertakan agar pembeli tidak keliru.
- Sertakan spesifikasi barangan, terutamanya barang elektronik.
- Nyatakan dengan jelas dan jujur keadaan dan sebarang kecacatan atau kerosakn yang ada.
- Nyatakan dengan jelas harga yang diletakkan.
- Nyatakan syarat lain seperti kaedah penghantaran / COD, adakah harga boleh dirunding / kos tambahan lain.
Sekarang, kita boleh memiliki ruang persekitaran yang lebih teratur, dan barang yang tidak berguna lagi kepada kita boleh pula mendatangkan sedikit pulangan. Mana tahu sekiranya kita seronok dan mahir melakukan perkara seperti ini akan mambuatkan kita menjadi seorang yang cekap menguruskan jual beli online! Itu boleh dijadikan sebagai part-time baharu kita.
Baca juga: