Adakah anda ingin memiliki perniagaan sendiri? Adakah anda berniat untuk berniaga tetapi tak tahu bagaimana cara untuk memulakannya?
Memiliki perniagaan sendiri pastinya menjadi impian bagi setiap orang. Apatah lagi, dengan kewujudan media sosial sekarang ini, ramai ahli perniagaan dan selebriti-selebriti di luar sana yang ‘mekongsikan’ kemewahan hidup sehingga ramai yang ingin mengikuti jejak langkah mereka.
Akan tetapi, untuk memiliki perniagaan sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, untuk memulakannya sahaja sudah cukup banyak cabaran dan risiko yang perlu dilalui. Namun begitu, jika anda menggunakan langkah yang betul, anda pasti dapat mengharungi cabaran ini dengan jayanya.
Jadi, di dalam artikel pada kali ini, kami ingin berkongsikan kepada anda cara untuk memulakan perniagaan sendiri dengan betul. Selamat mencuba!
1. Pelan Perniagaan
Sebelum memulakan perniagaan, ambil sedikit masa untuk merangka pelan perniagaan anda. Jangan terburu-buru untuk memulakannya!
Tenangkan fikiran, tarik nafas dan ambil kertas dan pen. Setelah itu, anda boleh mula melakar secara kasar rangka pelan perniagaan anda untuk jangka pendek dan jangka panjang. Dalam bahasa mudahnya, nyatakan visi dan misi perniagaan anda.
Apakah jenis perniagaan yang anda ingin jalankan? Adakah ianya berbentuk jualan produk atau perkhidmatan? Bagaimana perniagaan ini boleh berkembang pada masa hadapan?
Anda harus ingat, langkah ini adalah satu langkah yang penting untuk kemajuan perniagaan. Justeru itu, sekiranya anda tidak faham atau mengalami kesulitan sila dapatkan nasihat pakar atau ‘otai’ dalam industri ini.
2. Kenal Pasti Sasaran Pasaran
Ini juga merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah perniagaan, kerana ia akan menentukan kelangsungan hidup bagi perniagaan anda.
Lakukan sedikit penyelidikan untuk mengetahui apa kehendak pengguna. Anda boleh berjumpa dengan orang secara rawak ataupun untuk lebih mudah hanya membuat carian di media sosial.
Selain itu, anda boleh juga mencari perkara yang trending dan tular di media sosial untuk mengetahui minat pengguna. Ini bagi membolehkan perniagaan anda untuk menjadi lebih kompetitif dan produk anda diterima oleh pengguna.
3. Nama Perniagaan
Pemilihan nama perniagaan anda adalah penting untuk memastikan ianya kekal relevan untuk tempoh jangka masa yang panjang. Pastikan nama perniagaan anda menarik dan senang untuk disebut bagi memudahkan pengguna mengingatinya. Apa yang lebih penting adalah, adakah nama itu sesuai digunakan untuk perniagaan anda.
Kalau nak tahu, dengan nama perniagaan sahaja, ia bakal memberikan satu ‘first impression’ kepada para pelanggan sama ada tentang imej perniagaan atau produk dan servis yang ditawarkan.
Jika anda telah mempunyai cadangan nama perniagaan, segeralah mendaftar nama tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memastikan nama itu menjadi milik anda. Bukan apa, bak kata pepatah, ‘jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia diambil orang’.
4. Aktiviti Pemasaran
Pelan pemasaran adalah sangat penting di mana di dalam pelan ini anda perlu untuk mempromosikan perniagaan dan membuatkan pengguna mengenali anda. Sekiranya anda tidak mempunyai modal yang besar, cuba elakkan daripada menggunakan pemasaran berbayar pada permulaan.
Kalau nak tahu, aktiviti pemasaran di media sosial adalah paling efektif sama ada dari segi kos atau sasaran pengguna anda. Yang paling menarik adalah, tiada bayaran yang akan dikenakan untuk mempromosi di situ dan lebih cepat dan tepat ke sasaran pengguna. Untuk lebih advance sedikit, anda boleh melanggan facebook ads atau google ads.
Sekiranya anda berniaga di tepi jalan, anda boleh membuat banner atau bunting untuk memasarkan produk anda.
5. Cari Lokasi Yang Sesuai Untuk Perniagaan Anda
Mencari tempat perniagaan yang sesuai adalah penting untuk menjalani perniagaan anda. Anda perlu pertimbangkan sama ada anda akan mempunyai pejabat rumah, ruang pejabat bersama, pejabat peribadi, atau lokasi runcit.
Anda perlu memikirkan lokasi, peralatan, dan keseluruhan penyediaan untuk membolehkan anda mula menjalani perniagaan anda. Selain itu, anda juga perlu memastikan lokasi perniagaan yang anda pilih adalah sesuai dengan jenis perniagaan yang akan anda lakukan. Anda juga perlu mempertimbangkan sama ada perlu membeli atau menyewa tempat perniagaan.
6. Buat Kajian tentang Kos Projek
Kos projek adalah antara perkara yang perlu anda menitik beratkan. Sekiranya baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, anda tidak perlu untuk mengeluarkan modal terlalu besar, supaya anda tidak kecewa di kemudian hari.
Justeru itu, buat penyelidikan secara mendalam tentang jumlah keseluruhan kos projek dan nyatakan bagaimana cara untuk dapatkan modal ini. Mulakan dengan mengira perkara asas yang perlu ada ketika permulaan perniagaan anda, benda yang tidak penting boleh di tambah kemudian.
7. Bersedia Untuk Menghadapi Percubaan dan Kesilapan
Sama ada anda memulakan perniagaan pertama atau ketiga, bersedia untuk membuat kesilapan. Ini wajar dan selagi anda belajar dari kesilapan yang anda lakukan, ia akan bermanfaat kepada anda.
Sekiranya anda tidak melakukan sebarang kesilapan pun, ini bermakna anda tidak belajar apa yang harus dilakukan dengan kurang dan apa yang perlu dititikberatkan. Bersikap terbuka dan kreatif, menyesuaikan diri, mencari peluang, dan yang terpenting, bersenang-senang untuk menjalani perniagaan anda!
Apa yang paling baik untuk memiliki perniagaan sendiri ialah anda dapat memutuskan apa yang ingin anda lakukan dan di mana anda akan berkembang.
Mungkin anda melihat perkara-perkara ini adalah merumitkan, akan tetapi, percayalah perkara seperti ini yang akan membantu melancarkan perniagaan anda atau ia akan menjadi ‘payung terjun’ penyelamat sekiranya perniagaan anda berdepan kerugian. Selamat beramal!