Pendidikan mengurus kewangan merupakan sesuatu perkara yang sangat penting. Jangan terkejut sekiranya ramai daripada kita masih lagi mempunyai kadar aliran tunai negatif setiap kali hujung bulan tiba walaupun mempunyai pendapatan yang besar.
Berapa peratus pendapatan yang anda perlu simpan setiap bulan? Ada yang mencadangkan 20%. Ada yang mencadangkan 30%. Ada yang mencadangkan sehingga 50%! Sebenarnya tidak kisahlah berapa banyak pun yang anda simpan, sebenarnya yang terbaik adalah konsisten dan disiplin di dalam menyimpan. Perlu dilihat juga jumlah pendapatan dan komitmen masing-masing.
Pendidikan Kewangan Satu Keperluan
Pendidikan kewangan seharusnya diajar sejak daripada usia kecil lagi. Sebagai ibu bapa, kitalah yang perlu menerapkan sifat pengurusan kewangan yang baik dengan memberikan contoh kepada anak-anak. Salah satunya adalah dengan menerapkan kepada anak-anak untuk mula menyimpan dan membuat pelaburan seawal mungkin.
Setiap kali anak-anak diberikan duit belanja, menerima duit raya pada Aidilfitri, atau menerima hadiah saguhati daripada mana-mana pertandingan atau apa sahaja, ajarkan anak-anak anda cara pengurusan kewangan yang baik.
Sebelum menggunakan duit tersebut, galakkan mereka untuk mengasingkan duit simpanan terlebih dahulu. Kemudian, adalah sangat baik sekiranya anak-anak diajar untuk memberi sedekah kepada orang yang memerlukan. Bakinya nanti itulah yang mereka akan gunakan untuk berbelanja.
Jika sikap ini diajar daripada kecil, pastinya anak-anak anda akan menjadi celik dan bijak dalam menguruskan kewangan, satu kemahiran yang sangat penting dan kritikal di dalam dunia masa kini.
Di Mana Tempat Simpanan Terbaik Bagi Anak-anak?
Persoalan yang sering bermain di dalam fikiran ibu bapa adalah di mana seharusnya duit simpanan anak-anak ini disimpan?
Salah satu instrumen simpanan yang bukan sahaja selamat, malah menguntungkan adalah dengan melabur di Akaun ASB.
Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan dana unit amanah yang diberikan khusus untuk Bumiputera yang anda perlu anda! Namun, masih lagi ramai yang tidak tahu bahawa ASB juga mempunyai akaun yang boleh dibuka sejak kecil lagi, iaitu Akaun Remaja ASB.
Dengan jumlah simpanan yang konsisten sejak daripada kecil, ditambah pula dengan pulangan dividen pelaburan tahunan yang diberikan oleh ASB, cuba bayangkan apabila anak anda sudah berusia 18 tahun nanti, pasti jumlahnya akan sangat membantu sekiranya anak ingin menyambung pengajian, berkahwin, mengumpulkan deposit membeli rumah dan sebagainya.
Syarat Membuka Akaun Remaja ASB
Syarat untuk membuka akaun ASB adalah anda mestilah seorang Bumiputera adalah Melayu, Pribumi Sabah dan Sarawak seperti yang tertakrif di dalam Perlembagaan Persekutuan dan serta Orang Asli seperti yang didefinasikan di dalam Akta Orang Asli 1954. Bagi yang bukan Bumiputera, anda juga masih boleh melabur tetapi melalui produk ASB yang lain.
Bagi Akaun Remaja, anak perlulah sekurang-kurangnya berumur 6 bulan dari tarikh kelahiran hinggalah 18 tahun. Sekiranya lebih daripada 18 tahun, anak anda perlu membuka akaun dewasa. Info yang anda perlu tahu adalah, selepas anda membuka Akaun Remaja ini, duit simpanan di dalam akaun tersebut tidak boleh dikeluarkan sehinggalah anak tersebut mencapai usia 12 tahun.
Langkah Membuka Akaun Remaja ASB
Anda boleh mendaftar untuk membuka Akaun Remaja ASB untuk anak-anak anda di mana-mana cawangan ASNB ataupun dengan mana-mana ejen ASNB yang dilantik.
Bagi membuka akaun Remaja ASB, anda memerlukan beberapa dokumen untuk dibawa sewaktu pendaftaran. Anda perlu membawa Borang pendaftaran Unit Amanah (boleh ambil di pejabat ASB), kad pengenalan dan sijil lahir anak, kad pengenalan ibu bapa atau penjaga berdaftar berserta wang tunai yang ingin disimpan sebagai permulaan. Mudah, bukan?
Jumlah minimum yang perlu ada hanya RM10.00 atau bersamaan dengan 10 unit, manakala had pelaburan bagi akaun Remaja ASB adalah 200,000 unit atau RM200,000.00.
ADAM50: Peluang baik untuk mulakan pelaburan seawal mungkin
Satu lagi berita baik adalah sekiranya anda mempunyai bayi yang dilahirkan pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020, anda boleh membuka akaun ADAM50, dan akan menerima insentif percuma sebanyak 200 unit! Peluang yang tidak boleh anda lepaskan.
Sebagai ibu bapa, seharusnya kitalah yang perlu mendidik dan membuka jalan terbaik untuk anak-anak. Menyimpan dan menabung itu adalah sesuatu yang sangat bagus, tetapi sekiranya terdapat bonus lumayan yang diberikan bagi setiap simpanan, ianya pasti akan memberikan motivasi kepada anak-anak anda, bahkan kepada kita sendiri untuk menyimpan dengan lebih banyak!
Baca juga: