Perlu anda semua ketahui terlebih dahulu bahawa saya tidak pernah melakukan Balance Transfer Kad Kredit untuk langsaikan hutang kad kredit buat seumur saya. Bila ada yang bertanya, saya menjawab berdasarkan pemahaman saya tentang kredit transfer itu sendiri. Kalau ada apa-apa tempat yang cakap salah sila betulkan ya!
Kenapa perlu membuat transfer credit?
Biasanya, kepada kebanyakan yang ingin buat balance transfer untuk kad kredit mereka adalah dengan tujuan untuk ‘restructure’ balik hutang kad kredit’ yang mereka hutang itu.
Mereka membuat demikian adalah untuk mengelakkan bayar faedah yang dikenakan oleh bank yang mereka hutang pada kad kredit mereka. Jika mereka tidak membuat demikian, faedah yang dikenakan akan terus berganda.
Contohnya kalau sebelum ini seseorang hutang pada kad kredit sebanyak RM 1,000 dengan kad kredit CIMB dan dia buat balance transfer ke kad kredit Maybank, jadi hutang di CIMB akan jadi sifar dan untung pula sebab kemudahan balance transfer Maybank menawarkan ‘zero percent interest’ untuk beberapa bulan.
Wajarlah untuk pilih bank yang menawarkan zero % credit transfer dengan masa yang paling lama. Setahu saya Maybank dan BSN merupakan bank yang menawarkan tempoh 0& interest yang paling lama untuk balance transfer. Tempoh yang diberikan boleh sampai 12 bulan.
Balance transfer memang boleh menjimatkan interest. Kalau dapat pakej yang menawarkan 0% untuk 12 bulan, boleh anda jimat dalam RM 740 kalau transfer RM5,000.
Bagaimana gunakan kesempatan ini untuk langsaikan hutang kad kredit?
Contohnya, kalau ada seorang yang berhutang pada kad kreditnya sebanyak RM 6,000, bila dia transfer hutang ini kepada bank lain nanti, dia bolehlah setel kan RM 500 sebulan.
Ataupun tak boleh nak setel kan semua sekali dalam masa 12 bulan tu, cuma boleh commit untuk setel kan RM 250 sebulan, maka dalam 12 bulan sekurang-kurangnya RM 3,000 yang dibayar itu adalah interest free. Dan hutang yang masih tinggal adalah RM 3,000, jadi interest yang dikenakan hanya dekat RM 3,000 yang masih hutang itu pada bulan ke 13 tu nanti.
Kalau rajin, bulan ke 13 buat satu kali lagi balance transfer. RM 3,000 tu transfer ke bank yang lain pula. Kata kunci di sini adalah perancangan dan disiplin untuk membuat bayaran tepat pada masa setiap bulan supaya dapat jelaskan semua hutang dalam masa yang ditetapkan.
Ada kekurangan tak kredit transfer ni?
Kena rajin
Seseorang yang ingin membuat balance transfer kenalah rajin untuk pergi ke bank dan isi borang yang diperlukan untuk membuat transfer. Pendek kata adalah juga urusan dengan kad kredit lama dan juga yang baru.
Soal Disiplin
Adakah kita akan terus berhutang dan tidak membayar hutang itu apabila kita tahu yang hutang kita sebelum ni tidak ada interest. Kita mungkin akan jadi tidak berdisiplin lagi, kad kredit yang sudah tiada hutang pun sudah mula ada hutang sekali lagi.
Haywire
Sebelum ni anda cuma perlu urus dengan 1 kad kredit saja. Sekarang anda sudah jadi perlu urus dengan 2 kad. Jadi, anda kena tahan 2 kali godaan. Yang ini tidak lagi dimasukkan dengan panggilan telefon dari pihak bank yang menawarkan produk-produk bank yang turut merimaskan.
Sekian strategy kredit transfer mengikut pemahaman saya. Apapun hutang duit tetap perlu dibayar dengan duit, menggunakan kemudahan balance transfer pun memang membantu untuk mengelakkan kadar faedah yang berganda setiap bulan.
Apapun, adalah baik untuk kita membuat satu rancangan perbelanjaan dengan baik supaya kita tidak berhadapan dengan masalah kad kredit. Itu merupakan sesuatu kelakuan yang baik, tak perlu nak kisah-kisah pasal hutang yang jahat dan boleh jadi berganda-ganda dalam masa yang singkat.
Kerajaan sudah had kan limit kad kredit di mana seorang cuma boleh pakai 2 kad kredit maksimum dan kelayakan untuk memohon kad kredit sudah dinaikkan. Jadi anda mungkin mengalami masalah sekiranya anda nak buat balance transfer. Anda perlu semak dengan bank-bank yang anda ingin buat transfer sebelum anda lakukan untuk mengetahui sama ada balance transfer untuk kad kredit anda akan diterima atau tidak.
Pengalaman Kawan Saya
Ada kawan saya yang pernah buat balance transfer kalau tak silap 5 tahun lepas. Bagi dia, perbuatan demikian memang berkesan disebabkan “profit rate” atau interest rate yang lebih rendah.
Contohnya 9% setahun jika dibandingkan dengan 18% dan dapat langsaikan hutang kad kredit. Tapi janganlah bila buat transfer anda pergi tambah lagi hutang yang lain. Adalah baik untuk anda bayar ikut jadual yang diberikan. Kawan saya buat bayaran untuk 2 tahun dan sekarang dia sudah bebas dari hutang kad kredit.
Jika anda risau anda tidak dapat kawal dengan perbelanjaan sebaik saja anda pegang kad kredit di tangan anda, maka adalah baik untuk anda tamatkan kad kredit anda dan tukar kepada pakai kad debit. Dengan ini anda akan cuma beli apa yang anda mampu saja.
Baca juga: Cerita Yang Mengenai Kad Kredit