Berapakah bilangan kad kredit yang kita miliki? Tiada? Satu? Dua? Tiga? Lebih dari empat? Berapa pula sumber pendapatan yang kita ada? Adakah bilangannya tidak sama? Bilangan sumber pendapatan kita melebihi atau kurang daripada jumlah kad kredit yang kita miliki?
Adakah perkaitan ini secara matematiknya menggambarkan bahaya yang sedang kita hadapi; memiliki bilangan kad kredit melebihi kemampuan?
Satu Kad Kredit Sudah Mencukupi
Ada yang kata dua. Itu tidak salah, dengan syarat mereka yang memiliki dua kad kredit itu mempunyai alasan yang kukuh. Mungkin dari segi jenis kad kredit dan cara penggunaannya. Sebagai contoh, ada kad kredit yang menawarkan rebat yang tinggi bagi pembelian online.
Kad kredit dari jenis yang lain pula memberikan rebat yang hebat bagi pembelian petrol di stesen minyak tertentu. Sekiranya pemegang kad kredit ini memang seorang yang kerap membeli secara online dan mengisi minyak, mungkin dua kad kredit ini boleh dimiliki. Secara amnya, satu kad sudah mencukupi.
Pantang Utama Penggunaan Kad Kredit
Kad kredit merupakan satu produk kewangan yang ditawarkan oleh bank dengan nilai interest yang paling tinggi, sekitar 18%-21%. Mungkin tiga kali ganda lebih tinggi dari kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman peribadi atau lima kali ganda daripada pinjaman perumahan dan kenderaan.
Angka ini perlu sentiasa lekat di fikiran setiap kali kita ingin menggunakan kad kredit. Sekiranya kita telah mempunyai wang untuk membayar penggunaan itu, tiada masalah. Bayar secepat mungkin selepas kad digunakan.
Sekiranya kita tidak mempunyai dana, tapi tetap ingin menggunakan kad kredit dalam pembelian itu, ingat kenyataan ini;
“Membeli sesuatu benda yang semakin lama semakin merosot dari segi nilainya adalah merugikan. Membeli barang tersebut dengan kaedah berhutang merupakan satu tabiat yang buruk dan merbahaya.”
Kurangkan Kad Kredit Kepada Satu.
Perkara yang terbaik kita boleh lakukan ialah dengan menggunakan hanya satu kad kredit sahaja. Jika kita telah memiliki lebih dari satu, contohnya lima, sila gunakan kaedah dibawah untuk menggurangkan jumlahnya kepada satu;
- Senaraikan semua kad kredit, hutang semasa, dan kadar faedah yang dikenakan. (sebagai contoh, kita namakan kad A,B,C,D, dan E.
- Pilih satu sahaja kad kredit yang ingin dikekalkan. Sebagai contoh saya pilih Kad A.
- Hentikan serta merta penggunaan kesemua kad kredit, dan potong kesemua kad kecuali Kad A.
- Benarkan diri untuk menggunakan Kad A hanya setelah semua hutang kad lain diselesaikan.
Kaedah alternatif kepada Langkah Nombor 4;
- Membuat pinjaman untuk melangsaikan kesemua hutang, dengan syarat;
- Kita mampu membayar ansuran bulanan pinjaman yang bakal dibuat.
- Kadar faedah yang lebih rendah ditawarkan berbanding hutang sedia ada.
- Kad yang dilangsaikan tidak boleh digunakan kembali. Musnah atau batalkan sahaja.
- Membuat pindahan baki dari semua kad kredit kepada hanya satu kad sahaja. (consolidate) agar kita hanya mempunyai satu hutang sahaja, dengan syarat;
- Had tidak melebihi credit limit kad tersebut.
- Bayaran yang mampu kita buat melebihi bayaran minima yang dinyatakan.
Perkara Yang Boleh Membantu Melangsaikan Hutang Kad Kredit
Sekiranya semua langkah diatas telah dilaksanakan, ada beberapa tips lagi yang boleh digunakan untuk mempercepatkan hutang kad kredit dilangsaikan.
- Meningkatkan pendapatan dengan melakukan kerja sampingan / kerja lebih masa.
- Mengurangkan perbelanjaan. Setiap penjimatan yang dapat dilakukan, gunakan untuk menyelesaikan hutang tadi.
- Mengambil berat dan menguruskan keluar masuk duit agar tiada pembaziran dan setiap sen yang kita perolehi dapat digunakan sebaik mungkin.
- Menyimpan setiap lebihan yang kita terima / bonus / menang SSP BSN dan menggunakannya ke arah menyelesaikan hutang.
- Menjual barangan yang tidak lagi diperlukan atau tidak lagi mahu disimpan.
Sekiranya semua langkah di atas dapat dipraktikkan, kita akan berjaya membentuk satu pengurusan kewangan peribadi yang baik. Dengan mengurangkan jumlah kad kredit yang dimiliki, kita akan mengurangkan risiko untuk terdedah kepada hutang. Satu kad sahaja sudah mencukupi dan lebih mudah dikawal.
Pesanan saya yang terakhir, ilmu pengetahuan tanpa tindakan adalah sesuatu yang sia-sia. Bertindaklah sekarang!
Baca juga: