Tidak dapat dinafikan bahawa semakin ramai di kalangan anak muda di Malaysia yang mula menceburi Forex, apatah lagi dijanjikan dengan kekayaan yang segera. Akan tetapi, adakah mereka tahu apa itu Forex? Dan bagaimanakah status Forex di Malaysia? Tetapi sebelum itu, mari kita berkenalan dengan apa itu Forex.
Apa itu Forex?
Forex adalah nama singkatan bagi Foreign Exchange atau dalam bahasa melayunya urus niaga mata wang asing. Pada asasnya, Forex ini adalah aktiviti perniagaan yang melibatkan jual beli mata wang asing bagi mendapatkan keuntungan.
Dalam bahasa mudahnya, anda beli mata wang asing dan kemudiannya menjual semula apabila nilai mata wang tersebut semakin mahal. Sebagai contoh, anda pergi ke money changer untuk membeli duit USD1.00 pada harga RM4,10 pada hari ini, kemudian pada bulan hadapannya, ketika nilai USD semakin meningkat, anda menjualnya semula dengan harga RM4.30 dan dari situ anda akan untung sebanyak RM0.20.
Nampak mudah, kan? Namun, pasti anda tertanya-tanya mengapakah perkara ini diharamkan? Bagi mengulas lebih lanjut, jom mari kita lihat apakah hukum sebenar pertukaran mata wang asing. Pada asalnya, pertukaran mata wang asing adalah diharuskan dengan syarat urus niaga mata wang itu mestilah dilakukan secara tunai dan serta-merta (dibayar pada waktu yang sama).
Akan tetapi, hukumnya berubah menjadi haram apabila ia diperdagangkan di atas talian (online) tidak kira sama ada melalui platform tempatan atau luar negara di atas beberapa sebab mengikut Mufti Perlis. Antaranya adalah:
1. Tidak dibayar secara tunai dan serta-merta
Untuk pengetahuan anda, bayaran secara tunai dalam waktu yang sama tidak kiralah sama ada secara hakiki ataupun hukmi adalah syarat yang menjadikan urus niaga ini menjadi harus. Namun, sekiranya syarat ini tidak dipatuhi, maka urus niaga ini tidak lagi sah dan boleh jatuh kepada haram.
2. Kewujudan unsur riba
Seperti yang kita sedia maklum, di dalam Al-Quran ada dinyatakan bahawa Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Namun begitu, di dalam Forex anda boleh mengesan unsur riba pada kemudahan leverage (pinjaman tunai) apabila platform perdagangan itu mensyaratkan caj berbayar walaupun anda berdagang di platform yang sama.
Selain itu, anda juga boleh melihat kepada overnight charge (caj semalaman) yang dikenakan ke atas pinjaman anda sekiranya anda lewat membayarnya.
3. Kewujudan unsur gharar
Jika anda tidak tahu siapa penyedia platform, atau undang-undang yang menyelia perdagangan tersebut, itu menandakan wujudnya unsur gharar (ketidakpastian). Malah, anda juga tidak boleh mengesahkan sama ada transaksi itu dilakukan atau tidak.
Tetapi, apa yang pastinya, Islam melarang urus niaga sebegini, kerana ianya boleh menganiaya orang lain. Oleh kerana itu, Islam amat menekan kepentingan ilmu pengetahuan dalam setiap perkara yang dilakukan.
4. Kewujudan unsur judi
Selain itu, antara punca yang menyebabkan Forex ini diklasifikasikan haram adalah dengan wujudnya unsur maisir (judi). Perkara ini terjadi apabila pihak pedagang hanya membuat urus niaga dengan hanya spekulasi (ramalan) sahaja tanpa ada ilmu pengetahuan.
Kalau nak tahu, jika itu berlaku ianya sama dengan judi kerana judi adalah pertaruhan yang bergantung kepada nasib atau ramalan sahaja. Dan perkara ini adalah dilarang sama sekali kerana di dalam Islam untuk melakukan urus niaga perlu ada ilmu, usaha dan pengaruh pihak yang berniaga.
Justeru itu, sekiranya sebab-sebab ini masih ada di dalam urus niaga Forex, maka selagi itu, Forex akan dihukum haram dan dilarang di dalam Islam. Oleh itu, anda perlu menjauhinya kerana rezeki yang halal walaupun sedikit lebih baik daripada rezeki haram yang banyak.
Malah, dari sisi konvensional juga, Bank Negara Malaysia telah mengharamkan penggunaan Forex kerana ia akan menyebabkan ketidakstabilan nilai dalam sesuatu mata wang. Tambahan pula, perdagangan Forex yang tidak terkawal akan melemahkan lagi sistem fiat money, malah kadar inflasi akan meningkatkan disebabkan perkara ini.
Kesimpulannya, walaupun ada pihak yang mendakwa Forex ini adalah halal, tetapi, sebaiknya anda mengikuti apa yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu Forex adalah haram. Selamat beramal!
Baca juga: