Kalau sebut tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) biasanya perkara yang selalu dikaitkan ialah hutang pelajar, bayaran balik dan senarai hitam. Banyak berita tentang keupayaan untuk membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran. Apabila seseorang pelajar gagal untuk bayar balik pinjaman yang dia buat tepat pada masa, nama pelajar itu akan disenarai hitam di Imigresen dan CCRIS.
Sebagai salah daripada seorang peminjam PTPTN, saya akui bahawa kadang kala peminjam mempunyai masalah untuk membuat bayaran balik. Sesiapa yang menggunakan pinjaman PTPTN untuk menanggung perbelanjaan pengajian pasti boleh faham dengan apa yang saya katakan. Tambahan pula jikalau pelajar itu buat pinjaman untuk melanjut pengajiannya di universiti swasta. Apabila tamat pengajian, jumlah pinjamannya mungkin akan mencecah di antara RM 50,000 ke RM 60,000 ribu bagi program ijazah.
Adakah PTPTN Kejam Terhadap Peminjam?
Bukankah lebih kejam institusi pengajian tinggi yang mengenakan yuran ‘premium’ yang menyebabkan jumlah hutang kita jadi terlalu besar bagi seorang graduan yang baru tamat belajar? Belumpun dapat pekerjaan, kita sudah mempunyai hutang yang nilainya mampu membeli sebuah kereta sedan.
Secara peribadi, saya tidak suka kepada PTPTN. Suka atau tidak, perjanjian tersebut kita tandatangani, semata-mata untuk merasa ke menara gading. Tidak semua lepasan SPM, STPM dan matrikulasi mendapat tawaran ke universiti awam. Alternatifnya, ke kolej atau universiti swasta yang tinggi biayanya.
Maka, bermulalah kehidupan seorang penghutang, dalam keadaan belumpun bergelar graduan. Dalam ramai-ramai peminjam, ada juga yang terpaksa mengalami pengalaman pahit apabila bayaran pinjaman lambat dikreditkan. Ada pula yang berputih mata apabila bayaran ditahan kerana keputusan semester yang buruk.
Itu semua hitam putih kehidupan seorang penuntut. Akhirnya, berjaya juga. Bermula pula mimpi ngeri untuk pembayaran balik. Hutang tetap hutang, walau apa pun justifikasi kita terhadapnya.
Kisah ‘Cinta’ Saya dan PTPTN
Sebelum memperolehi pekerjaan yang tetap, saya banyak bertukar-tukar kerja. Biasanya kerja yang saya dapat merupakan kerja part-time yang bergaji rendah dan bersifat seasonal.
Saya hanya mampu membayar RM 50 sebulan untuk hutang PTPTN saya pada ketika itu. Jumlah itu tidak mampu menampung kos pentadbiran 3%. Hasilnya, hutang ‘pokok’ meningkat dari bulan ke bulan.
Apa yang saya patut puji ialah, sebelum saya mampu membayar RM 50, saya langsung tidak mampu membayar. Saya memberanikan diri menulis surat kepada PTPTN dan memohon keizinan dari pihak berkenaan untuk buat penangguhan atas pinjaman saya. Alhamdullilah, permohonan itu diterima ditangguhkan setahun.
Setelah mendapat pekerjaan tetap, saya dalam menaikkan bayaran bulan kepada RM 200, walaupun kalau mengikut jadual pembayaran asal, saya perlu membayar RM 400 sebulan pada tahun tersebut. Dahulu, jadual pembayaran PTPTN ini bermula dengan nilai yang rendah pada tahun pertama, naik pada tahun kedua dan seterusnya.
Apabila Ujrah diperkenalkan, saya serta merta memohon. Setelah ditukarkan kepada Ujrah dan pelarasan dibuat, hampir RM 3,000 bayaran lebihan dikredit semula, mengurangkan hutang sedia ada.
Penyelesaian Kepada Hutang PTPTN
Semasa saya menandatangani perjanjian PTPTN, SSPN-i belum diwujudkan. Sekarang, nak buka akaun SSPN-i Plus pun boleh secara online. Penyelesaian terbaik ialah ibu bapa yang mula menabung sejak anak kecil lagi. Dengan pendekatan ini, jumlah tabungan bulanan tidak perlu besar.
Boleh bermula daripada RM 30 sebulan sehingga RM 500 bergantung kepada jangkamasa berapa lama lagi anak nak masuk universiti dan sasaran yang perlu disimpan. Akun SSPN-i ini juga sudah digabungkan dengan beberapa kelebihan insuran.
Bagi yang seperti saya, sudah lama meminjam dan dalam proses melunaskan bayaran balik, cara yang terbaik ialah bayar dengan konsisten dan naikkan kadar bayaran setiap tahun supaya cepat habis. Kalau tidak nanti takut bermaslaah apabila hendak ke luar negara atau hendak membuat pinjaman lain.
Jika kita jadikan hutang ini sebagai satu keutamaan terlebih dahulu, Insyaallah akan boleh selesai. Tangguhkan dahulu mana-mana hal yang bukan keperluan.
PTPTN merupakan satu kemudahan. Walaupun yang sebaiknya ialah pendidikan percuma, kehidupan dalam alam realiti ini mengajar kita tiada yang percuma. Alangkah baiknya kalau suatu hari nanti semua warga negara berpeluang ‘ditanggung’ oleh kerajaan sehingga ke peringkat ijazah?
Selagi kita masih dalam realiti ini, janganlah kita mengelak dari tanggungjawab yang perlu kita laksanakan.
Baca juga: