SOCSO (Social Security Organization) atau dalam bahasa Melayu ialah PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) adalah satu badan kerajaan di Malaysia yang ditubuhkan untuk menyediakan dana perlindungan sosial kepada pekerja daripada hal-hal musibat yang berkait langsung dengan kerja seperti penyakit yang berpunca daripada pekerjaan, kemalangan semasa bertugas atau kematian.
Pada 1 Januari 2018 baru-baru ini, PERKESO yang diselia di bawah Kementerian Sumber Manusia (terdahulu dinamakan Kementerian Buruh) telah melancarkan satu skim baru iaitu Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Sistem Insurans Pekerjaan ialah satu lagi usaha kerajaan bagi memberi bantuan daripada segi kewangan kepada pekerja yang kehilangan kerja.
Jika nama anda dicarumkan untuk insurans ini dan mungkin suatu masa nanti anda kehilangan pekerjaan, anda akan diberikan pelbagai bantuan tetapi keadaan anda haruslah memenuhi syarat kelayakan utama iaitu boleh dan bersedia untuk bekerja serta aktif mencari kerja.
Sekiranya kehilangan pekerjaan anda atas sebab berikut – sukarela meletak jawatan, tamat kontrak, bersara dan juga diberhentikan kerja kerana salah laku, maka anda tidak berkelayakan membuat tuntutan insurans pekerjaan ini.
Kebiasaannya, bayaran untuk Sistem Insurans Pekerjaan ini dapat dikenalpasti dalam slip gaji anda juga sebagai bayaran EIS Employee iaitu singkatan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud Employment Insurance System.
Kadar bayaran untuk insurans ini ialah sebanyak 0.2% masing-masing daripada majikan dan juga daripada gaji pekerja. Untuk kepastian lebih lanjut tentang jumlahnya, anda boleh semak dalam jadual caruman SIP PERKESO yang di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Ramai pekerja yang resah dan gelisah kerana semakin banyak yang perlu ditolak daripada gaji masing-masing setiap bulan. Ada KWSP, PERKESO, rumah, tabung haji, dan pelbagai lagi bil. Tapi semua ini, terutamanya skim-skim yang diwajibkan oleh kerajaan ini adalah suatu sistem yang telah dikaji secara mendalam dan teliti bagi menyenangkan kita dalam jangka masa yang panjang.
Sebenarnya, sistem pelaburan untuk masa tua seperti KWSP juga banyak disediakan oleh institusi kewangan lain seperti PNB atau bank-bank. Insurans untuk pekerjaan juga telah banyak ditawarkan oleh institusi insurans swasta yang sedia ada sejak dahulu lagi. Tetapi, ramai yang memandang sepi prospek itu atau kurang kesedaran akan keperluan itu.
Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ini sepatutnya diterima dengan senang hati kerana jika anda bandingkan kos bayaran bulanan skim ini dengan mana-mana pelan syarikat insurans lain, SIP adalah sangat-sangat murah! Tambahan lagi, jika dilihat pada faedah-faedah yang didatangkan bersama dengan skim itu.
Ada 6 faedah yang diberikan oleh PERKESO, yang anda boleh tuntut sebagai pencarum SIP.
1. Anda disediakan khidmat kaunseling kerjaya & penempatan kerja baru sesuai dengan pengalaman pekerja.
Kadang-kadang apabila telah lama berkhidmat di suatu syarikat, kita menjadi kurang mengambil tahu ataupun melupakan terus cara-cara semasa kita mula-mula mahu memburu kerjaya ketika awal dewasa remaja kita dahulu.
Mendapatkan kaunseling bukanlah suatu yang perlu dimalukan atau sesuatu yang tidak perlu, kerana kita bukan sahaja boleh dapatkan kembali maklumat yang perlu dipertimbangkan seperti kesesuaian kerja, ataupun jika kita seharusnya memilih jawatan yang lebih tinggi daripada sebelumnya.
Kita juga diingatkan kembali tatacara temuramah dengan bakal majikan dan sebagainya. Dengan merujuk kepada kaunselor juga, kita akan mendapat informasi terkini berkaitan pencarian kerja, contohnya mungkin format resume yang terbaru yang lebih sesuai dan kemas.
2. Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
Selepas anda kehilangan pekerjaan anda, anda bolehlah menuntut elaun ini dalam masa 30 hari selepas dibuang kerja. Anda akan dibayar dalam 1 hingga 6 bulan berjumlah dari RM1,700 sehingga RM10,800 ! Jadi bagi anda yang bekeluarga besar dan memerlukan kos sara diri bulanan yang tinggi, tidak perlu tertekan jika anda berdaftar sebagai pencarum.
3. Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA).
Ia adalah sebagai satu galakan kepada pencarum untuk cepat-cepat mendapatkan kerja. Ia adalah sebanyak 25% daripada jumlah yang ditentukan oleh PERKESO.
4.Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).
Elaun ini disediakan untuk pencarum yang mempunyai banyak pekerjaan berbeza. Jika salah satu daripada majikan telah memberhentikannya, dan masih bekerja dengan satu lagi majikan lain, tetap pencarum akan mendapat manfaat daripada SIP ini. Jumlah elaun ini adalah sama dengan EMP.
5. Elaun Latihan (EL).
Yang mana pencarum mendapat elaun untuk perbelanjaan berkait dengan latihan kerjaya yang anda ikuti. Seperti untuk makan minum, pengangkutan dan peralatan keperluan. Ia adalah sebanyak RM10 sehingga RM 20 sehari.
6. Fi/Yuran Latihan (FL).
Ini adalah untuk pembiayaian yuran kursus latihan kerjaya anda, dan dibayar terus kepada pengurusan latihan berjumlah sehingga RM4,000.
Sememangnya menguntungkan anda! Jadi apa lagi, kepada majikan, anda bolehlah mendaftar pekerja anda dengan Sistem Insurans Pekerjaan ini secepatnya. Pendaftaran boleh dibuat menerusi kaunter di pejabat PERKESO atau secara online dan login ke laman rasmi perkeso iaitu https://www.iperkeso.my/.
Baca juga: