Web Analytics

5 Contoh Sasaran Menabung Duit Yang Mudah Capai

Penyimpan duit macam sesuatu yang mudah dilakukan tetapi memang terdapat ramai orang yang gagal untuk simpan RM1 pun setiap bulan. Jadi boleh dikatakan simpan duit itu memang perlukan displin terhadap diri sendiri untuk lakukan. Sasaran menyimpan duit boleh menjadikan usaha itu mampu diukur dan pencapaian matlamatnya jelas.

menabung duit

Di antara contoh yang klise ialah menyimpan duit untuk melangsungkan perkahwinan, menabung untuk bayaran muka membeli kereta, atau downpayment untuk memiliki rumah pertama.

Dua langkah penting sebelum menyimpan duit menjadi mudah

Bertentangan dengan kepercayaan kebanyakan orang, sebenarnya kebolehan menyimpan tidak bergantung kepada jumlah gaji bulanan atau pendapatan seseorang. Ramai yang tidak bersetuju.

Realitinya, mereka yang bergaji kecil mengeluh tidak cukup duit menunggu hari pembayaran gaji seterusnya, manakala mereka yang bergaji besar pula masalahnya tetap juga sama.

Besar yang masuk, besar yang keluar. Kecil yang masuk, kecil yang keluar. Biasakah kita mendengar ucapan ini? Apa maksudnya perkataan “keluar -masuk itu”

1. Tingkatkan aliran tunai (cashflow) anda

Inilah langkah pertama dan yang paling penting dalam memulakan projek menyimpan duit atau menabung yang berjaya. Apakah tanda-tanda kita berada dalam aliran tunai yang negatif? Sebelum berusaha menyimpan, berusahalah menjadikan aliran tunai kita positif.

2. Tingkatkan pendapatan vs kurangkan perbelanjaan

Ada dua cara mudah untuk menjadikan aliran tunai kita kembali positif. Kedua-dua cara ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Kita boleh menyemak perbelanjaan kita. Yang pertamanya kenalpasti kemana duit kita pergi pada bulan ini. Rekod setiap perbelanjaan secara terperinci. Hasil rekod ini membantu kita untuk membuat keputusan perbelanjaan manakah yang perlu dikurangkan.

Ataupun, pendapatan kita bagi bulan berikut hendaklah lebih tinggi daripada bulan ini. Langkah ini termasuklah melakukan kerja lebih masa, meningkatkan jualan atau mencari sumber kedua (yang halal).

Bagi memperolehi kesan maksima, kedua – dua cara ini hendaklah dilakukan serentak.

Contoh sasaran yang boleh dijadikan matlamat untuk menabung duit

1. Memiliki emas bernilai 25% daripada pendapatan bulanan

Sasaran ini berada dalam kategori yang mudah dicapai. Berapakah nilai dalam Ringgit Malaysia yang bersamaan dengan suku pendapatan bulanan kita? Cuba semak jumlah ini dengan harga emas semasa untuk mengetahui berapa gram emas yang dapat dibeli dengan satu per empat daripada gaji kita.

Jadikan emas seberat gram ini sebagai sasaran kita yang pertama. Perhatikan berapa lama masa yang diambil untuk kita mengumpulnya. Sebagai perancangan bolehlah ditetapkan satu jangkamasa yang munasabah contohnya dalam masa tiga bulan.

Katakanlah suku daripada gaji kita ialah RM 500. Untuk membeli emas berharga RM500 tiga bulan daripada sekarang, kita perlu menyimpan RM5.60 sehari selama 90 hari. Mulakan dengan penuh berdisplin.

2. Memiliki Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional RM 3,00.00

Kenapa RM 3,000.00? Kerana itulah jumlah minima SSP BSN yang melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah Bank Simpanan Nasional yang menawarkan hadiah RM 1 juta.

Boleh mencuba, tetapi jangan berharap. Salah satu keypoint yang menarik dalam menjadikan SSP BSN sebagai kaedah simpanan ialah ianya sukar dikeluarkan (ditunaikan). Tetapi ianya mudah dibeli secara atas talian, di mesin ATM atau di kaunter BSN.

Sekali lagi, timeframe ataupun jangkasa masa mencapai matlamat ini penting. Katakanlah kita menetapkan untuk memiliki simpanan sebanyak RM 3000 dalam masa dua tahun. Bermakna kita cuma perlu membeli SSP BSN selang setiap hari sebanyak RM 10.

3. Memiliki simpanan tunai berjumlah RM 5,000.00 untuk dijadikan modal perniagaan atau pelaburan

Sasaran ketiga ini sebenarnya bertujuan untuk mempercepatkan proses mencapai sasaran ke empat.

Pelaburan atau perniagaan jika kena caranya, tidak memerlukan modal yang besar. Tetapi pelaburan yang kecil biasanya pulangannya juga kecil, sejajar dengan risikonya yang kecil.

Hampir 100% pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dengan modal yang kecil dan risiko yang rendah adalah penipuan.

Pastikan kita mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup sebelum terlibat dalam sebarang bentuk pelaburan atau perniagaan untuk mengelakkan kerugian. Pada pendapat peribadi saya, RM 5,000.00 ialah titik paling rendah untuk pelaburan atau perniagaan sebagai langkah permulaan.

Konsep 40-40-20 bolehlah digunakan sekiranya modal ini telah diperolehi. Keuntungan daripada perlaburan atau perniagaan tersebut hendaklah dibahagikan seperti berikut:

  • 40% digunakan semula untuk meningkatkan modal.
  • 40% dianggap sebagai pendapatan.
  • 20% disimpan sebagai simpanan kekal (persaraan, kecemasan, dll).

Sekiranya mengalami kerugian, cari duit dari sumber lain untuk menampung top-up kembali modal kita supaya kembali berada di paras minima RM 5,000.00.

4. Menyukupkan simpanan Tabung Haji 50% lebih daripada kos minima mengerjakan haji

Utamakan sasaran ini. Gunakan 20% daripada langkah di atas untuk tujuan ini dicapai dengan cepat. Semasa artikel ini ditulis, kos menunaikan ibadah haji ialah RM 19,550 seorang.

Bagi bakala haji kali pertama yang menyimpan dengan Tabung Haji, RM 9,980 perlu dibayar manakala RM 9,570 pula akan ditanggung oleh Tabung Haji. Bagi menunaikan ibadah haji kali kedua, bayaran penuh diperlukan.

Sasaran kita ialah 50% melebihi kos iaitu RM 14,970 bagi ibadah kali pertama. Genapkan kepada RM 15,000.00. Selain daripada tambang kos perbelanjaan persediaan dan perbelanjaan di sana akan dapat ditampung dengan angka ini.

Bagi mereka yang ingin menyasarkan bayaran penuh, jumlah yang perlu disasarkan ialah RM 30,000 seorang.

5. Memaksimakan simpanan di ASB

Matlamat ini boleh dijadikan sasaran yang major dan bolehlah diletakkan jangka masa yang sedikit panjang untuk mencapainya.

Apa kelebihan memaksimumkan simpanan ini? Secara amnya, simpanan ini boleh membantu proses persaraan, atau proses menutup hutang-hutang besar seperti pinjaman perumahan atau sebagainya.

6. Rujukan untuk sasaran menyimpan, memulakan perniagaan dan menceburkan diri dalam pelaburan

Jalan untuk membebaskan diri secara kewangan (financially free) bagi setiap orang adalah berbeza. Apa yang berjaya bagi A mungkin tidak sesuai bagi B. Oleh itu setiap langkah perlu diteliti dan dirancang.

Begitu juga dengan matlamat menyimpan. Sasaran-sasaran di atas hanyalah cadangan dan contoh sahaja. Keperluan hidup dan keutamaan hidup seseorang boleh menjadikan matlamat kewangannya berbeza dengan orang lain.

Apa yang penting ialah usaha kita untuk bertindak.

Leave a Comment

error: Content is protected !!