Bukan aku ni pandai sangat untuk menguruskan wang, tetapi sekurang-kurangnya aku mencuba untuk menguruskan duit gaji bulanan dengan cara yang aku rasa paling terbaik untuk aku.
Tahukah anda bahawa secara purata di Malaysia, kebanyakan dari golongan lelaki pasti ada mengalami masalah dengan menguruskan duit gaji mereka. Betul tak wahai kaum lelaki di luar sana? Jika apa yang aku cakapkan adalah betul, maka ini bermaksud anda adalah sama macam aku.
Macam Mana Aku Menggunakan Duit Gaji
Oleh yang demikian, aku ingin berkongsi bersama anda dengan menulis di sini tentang cara bagaimana aku menggunakan duit gaji aku.
Gambar yang aku paparkan di atas boleh anda tengok sendiri lah. Ia merupakan gambar payslip aku yang pertama sejak aku berkhidmat semula di kapal. Payslip yang berkenaan ini menunjukkan bahawa aku menerima gaji pada bulan Febuari 2018 dan aku cuma bekerja selama 10 hari sahaja.
Jadi apa aku boleh buat dengan duit gaji 10 hari itu? Nampak bukan banyak sangat kan? Jadi jom kita baca senarai di bawah bagaimana caranya aku menghabiskan duit gaji 10 hari untuk bulan Febuari itu.
1. Aku terus agihkan duit tersebut kepada 3 bahagian secara kasar. Perkara ini adalah amat penting untuk dilakukan sebelum anda menghabiskan duit gaji anda.
Anda perlu pastikan di mana perbelanjaan anda adalah terkawal pada peringkat awal. Jika tidak, siap la di akhir bulan nanti. Mesti anda tak cukup duit sebab sudah belanja habis pada tengah bulan.
2. Senaraikan hutang-piutang anda atau jika sudah anda senaraikan di dalam buku boleh la buka buku tersebut. Penyenaraian hutang juga penting supaya anda tidak terlepas untuk membayar hutang bank atau hutang sesama kengkawan anda.
3. Lepas senarai hutang sudah setel, apa yang perlu anda buat kemudian adalah senaraikan pula barang keperluan bulanan. Bila sudah dapat senarai maka boleh anda terus lakukan pembelian supaya bajet bulanan anda tak lari kelaut.
Untuk mengelakkan membuat bajet yang terlebih, anda boleh beli barang dengan harga yang lebih murah daripada bajet yang anda sudah senaraikan. Duit lebih yang anda jimat itu bolehlah masuk ke dalam tabung ayam anda.
4. Tetapkan target simpanan anda untuk setiap bulan. Contohnya, sekiranya anda ingin menyimpan RM1,000 untuk sebulan. Jadi anda perlu pastikan RM1,000 itu telah ditolak pada peringkat awal daripada duit gaji bulanan anda. Anda perlu membuat macam ini dengan tujuan supaya tidak berlaku “kemalangan” ketika membuat perbelanjaan anda.
5. Sampai ke tahap ini, semua yang penting sudah anda selesaikan. Jadi sekarang barulah boleh anda berfikir untuk macam mana guna duit aktiviti anda.
Contohnya, jika anda suka main badminton dan anda akan mainnya setiap minggu. Main badminton pun mesti ada bayaran sewa gelanggang betul tak? Nasihat aku untuk aktiviti seharian ni, anda boleh gunakan duit lebih hasil penyenaraian dan pembahagian duit anda tu supaya duit gaji bulanan anda tak tersasar jauh.
Sampai sinilah apa yang aku ingin berkongsi dengan anda semua. Harap 5 tips ini adalah cukup untuk anda dan harap cara yang dikongsikan adalah cara yang terbaik untuk membantu anda menggunakan duit gaji bulanan anda dengan bijak.
Kalau anda dapat mantapkan 5 tips yang aku bagi ni, In Shaa Allah gaji bulanan anda akan berbaloi dengan kerja yang anda lakukan. Kalau duit asyik habis entah ke mana mesti anda akan rasa penat untuk bekerja sebab rasa masa tak ada makna untuk anda kerja macam ini.
Jadi, jangan biarkan keadaan jadi macam tu sampai anda hilangkan minat untuk bekerja. Kita kerja tak boleh ada stress yang terlalu banyak, ini baru la dapat meningkatkan produktiviti syarikat.
Aku juga telah mendisiplinkan diri aku dengan 5 tips di atas dan aku berharap duit aku akan lebih teratur dari masa ke semasa. Memandangkan sekarang ni aku punya target nak kahwin, lagi la aku kena kawal duit perbelanjaan aku. Kalau tak nanti keluarga mertua tak berkenan pula.
Terdapat ramai orang yang tidak mempunyai simpanan duit untuk kecemasan. Apabila ada sesuatu berlaku dan perlukan wang dengan cepat, mereka tiada jalan dan pergi buat pinjaman peribadi.
Tapi biasanya pinjaman peribadi mempunyai kadar faedah yang tinggi. Jadi sebelum anda pergi buat pinjaman itu, perlu anda kira sama ada anda mampu untuk bayar balik atau tidak.
Apa yang paling baik masih adalah simpan sikit wang setiap bulan untuk tabung kecemasan. Jadi anda tidak akan perlu buat pinjaman apabila memerlukan wang kecemasan.
OK lah sampai sini dulu entri aku. Ada masa yang terluang lagi nanti aku kongsikan lagi perkara-perkara yang menarik.
Baca juga: Bisnes Buat Duit, Cari dan Dapat Duit