Web Analytics

4 Jenis Perniagaan Instagram Yang Menguntungkan

Aku rasa ramai yang ada instagram. Ada yang panggil insta adal yang panggil IG. Dalam ramai-ramai yang ada instagram tu agaknya berapa ramai yang boleh buat duit dengan instagram? Jawapannya mudah. Lebih kurang 20 peratus. Kenapa aku kata 20 peratus? Sesiapa yang suka baca atau belajar pasal bisnes atau enterprenuer akan biasa dengan konsep hanya satu daripada lima perniagaan yang berjaya. Maknanya dalam lima orang yang baru nak mula berniaga, seorang je yang boleh berjaya, empat lagi lingkup. Dalam peratusnya; 20%.

perniagaan instagram

Intagram asalnya adalah untuk media sosial yang berasaskan fotografi. Snap pakai handphone, kemudian upload. Bila media sosial ini berkembang, ramai yang nampak peluang untuk monetize akaun instagram masing-masing. Maksudnya, cuba nak buat duit sampingan dengan akaun instagram mereka. Caranya aku akan cerita sekejap lagi. Ada beberapa, ikut kesesuaian masing – masing.

 

Perkara pertama yang perlu dilakukan setelah mendaftar akaun instagram.

Perkara pertama ialah follow akaun yang korang minati. OK. Ada sesetengah mazhab akan cakap follow orang tak penting, yang pentik ramai follower. Tak salah nak fikir macam tu, tapi aku tak fikir macam tu. Aku akan terangkan. Kita kena ingat, instagram ialah media sosial yang berasaskan fotografi, jadi fungsi utamanya ialah untuk bersosial dengan berkongsi-kongsi gambar. Ada dua perkara aku ingin pesan sebelum daftar akaun instagram.

  1. Kalau daftar akaun peribadi, gunakan untuk tujuan peribadi.
  2. Daftar akaun khas/berasingan bagi tujuan menjana pendapatan menggunakan instagram.

Mungkin pada peringkat awal atau kecil-kecilan campur aduk akaun takkan memberi masalah, tapi kalau nanti bisnes dah berkembang, fungsi bersosial dengan gambar yang kita tangkap guna telefon bimbit tu dah pudar sedikit – demi sedikit dan akhirnya feed akan penuh dengan iklan sahaja (seperti yang sekarang terjadi di facebook).

Bagaimana instagram boleh berikan kita duit?

Instagram tak bayar kita satu sen pun. Instagram itu sendiri tak berikan kita duit. Tapi, ia boleh dijadikan platform untuk buat side income USD ataupun RM. Ada beberapa cara. Aku bagi tahu caranya dahulu sebagai gambaran sebenarnya macam mana orang lain boleh berniaga dalam instagram.

Menjual produk fizikal sendiri.

Kategori stokis atau taukeh kedai. Mereka ada barang fizikal, mungkin losyen, kipas angin, ubat senggugut, ataupun ejen MLM. Biasanya mereka akan postkan gambar masalah yang boleh diselesaikan oleh produk mereka. Mungkin gambar pipi berjerawat, ketiak hitam, perut buncit, pisang layu atau sebagainya. Kemudian mereka akan post gambar produk mereka, dengan harga biasanya ada xx dibelakang RM yang dipaparkan.

Biasalah, itu teknik untuk timbulkan misteri, bagi yang berminat boleh call sendiri. Dalam posting itu akan ada cara nak hubungi mereka. Biasanya dalam gambar yang dipost itu sendiri. Kadang-kadang sms terus, atau whatsapp dan wechat. Proses penghantaran yang normal ialah melalui pos atau COD(Cash On Delivery). Pembeli dan penjual berjanji untuk jumpa, penjual serahkan barang pembeli bayar. Kerana persaingan dalam instagram dalam kategori ini amat tepu, ramai peniaga yang akan post gambar pendaftaran SSM untuk tunjukkan mereka jujur dan amanah.

Satu lagi gambar yang selalu dipostkan oleh kategori ini ialah testimoni dari pelanggan. Terima kasih barang dah sampai, berkesan, nak order lagi. Selalunya dalam bentuk screenshot telefon. Macam-macam yang boleh kita lihat. Yang post gambar bungkusan-bungkusan pos laju pun ada, menunjukkan kejayaan jual belinyanya, salah satu bentuk testimoni juga untuk meningkatkan keyakinan bakal pelanggan, atau dalam istilah yang mereka selalu guna, prospek. Orang yang cari duit dalam instagram macam ini aku panggil TOKEH KEDAI.

Menjual perkhdimatan.

Perkhidmatan yang sah di sisi undang-undang ye. setakat ini tak de lagi yang aku jumpa post gambar tawarkan perkhidmatan jadi hitman dalam instagram. Perkhidmatan fotografi ada. Servis yang ini aku rasa sesuai dengan konsep asal instagram, sosial melalui gambar. Kita berpeluang tengok hasil kerja jurugambar yang menawarkan perkhidmatan tersebut melalui akaunnya. Boleh tengok kerja-kerja terdahulu mereka, itupun kalau mereka tak gunakan gambar yang diambil oleh orang lain la.

Perkhidmatan lain pun banyak juga, menggubah, andaman, jahit baju, food delivery dari pejabat ke pejabat. Ramai pengguna instagram yang kreatif sebenarnya. Bermacam servis ada kalau kita cari. Yang aku suka dalam instagram ni, banyak artis berbakat yang boleh bagi servis baik. Bukan artis penyanyi atau pelakon. Artis yang aku maksudkan di sini kebanyakannya pelukis dan mereka yang berbakat dalam bidang creative media.

Order apa yang nak dilukiskan, sama ada potret, ambigram, nama, kad jemputan, atau banner, bila dah siap, boleh review, buat bayaran dan hasil akan di pos. Untuk kerja – kerja rumit mungkin akan ada yang minta down payment, itu normal. Mereka yang boleh hasilkan pendapatan melalui instagram dengan cara ini aku panggil FREELANCER.

Menjual produk bagi pihak orang lain.

Jenis yang ini berbeza dengan yang pertama tadi. Kalau yang tadi ada produk sendiri, yang ini tiada. Tapi mereka menawarkan produk orang lain. Modus Operandi mereka sama. Post masalah yang mungkin dihadapi prospek, post produk yang boleh selesaikan masalah. Contact juga melalui cara yang lebih kurang serupa. Bezanya hal-hal pengeposan barang dan sebagainya akan diuruskan oleh pembekal secara terus. Mereka akan dapat bayaran berdasarkan komisyen.

Kadang-kadang perkhidmatan begini tidak hanya terhad kepada produk fizikal, ada juga produk maya seperti ebook. Komisyen biasanya rendah sedikit untuk produk fizikal dan tinggi untuk produk maya. Banyak istilah yang kita boleh dengar. Antaranya ialah dropship dan affiliate. Konsepnya ialah sama. Mereka buat untung dalam instgram dengan menjadi BROKER.

Menambahkan pengikut.

Kategori akaun yang macam ni sebenarnya masih lagi dikelaskan sebagai orang yang menawarkan perkhidmatan. Tapi aku suka asingkan kategori ini kerana marketnya besar dalam instagram. Pengguna macam ni ada ramai pengikut ataupun followers. Jika mereka post satu gambar dan letak pula call of action yang sesuai, tentang satu akaun instgram yang lain maka nescaya akan bertambahlah pengikut akaun tersebut.

Tidak terhad kepada menambahkan pengikut sahaja, jika mereka mempunyai pengikut yang ramai, bermakna kredibiliti mereka juga tinggi. Ayat mudahnya, apa dia cakap semua pengikut dia yang beribu-riban itu akan percaya la. Kalau dia promotekan IG seseorang orang akan follow. Kalau dia reviewkan sesuatu krim, orang akan beli. Kalau shoutout satu kedai IG, berduyun-duyun orang akan datang. Nama glamour mereka ialah social influencer.

Sebab pengaruh mereka tinggi. Biasanya akaun artis. Bukan semestinya akaun artis yang keluar TV atau radio sahaja. Instagram pun ramai artis. Kalau comel mesti ramai pengikut. Gambar kiut miut, gebu dan berseri, berduyun duyun orang akan follow. Tapi awas, ada yang kerjanya mengumpul gambar awek cun dan dijadikan akaun, walhal tuan sebenarnya ialah Jabba The Hut yang dibibirnya tersepit sebatang rokok gudang garam.

Mereka dapat bayaran untuk setiap review atau shoutout yang dibuat. Harga biasanya ada kaitan dengan jumlah followers yang mereka ada. Makin ramai semakin mahal. Jangan terkejut kalau sampai ribuan ringgit hanya untuk mention nama akaun IG anda dalam akaun mereka. Ada juga yang letakkan had masa. Contohnya sejam untuk berapa ringgit. Selepas itu post itu akan dipadam. Ada juga yang tawarkan masa yang lebih lama, overnight contohnya. Kategori yang buat duit dengan Instagram shoutout ataupun paid review ini aku namakan TUKANG IKLAN.

Akaun instagram siapa yang wajib difollow?

Bergantung kepada akaun jenis apa yang kita ada. Kalau akaun jenis sosial (suka-suka) maka followlah siapa sahaja yang disukai. Bagi akaun yang lain masing-masing ada kategori akaun yang lebih baik difollow berbanding lain.

Akaun keluarga dan kawan – kawan.

Follow bukan atas dasar nak menjual atau mempromosikan produk instagram, tapi bagi tujuan mengukuhkan followers. Kalau hendak berniaga, keluarga dan kawan-kawan ialah support pertama kita. Mereka ada kawan-kawan lain, dan kawan-kawan mereka ada kawan lagi, begitulah seterusnya. Fikirkan kemungkinan yang ada itu.

Sentiasa ingatkan diri sendiri, kita bukan mencari pembeli, tapi kita nak dedahkan produk atau perkhidmatan kita sahaja. Kita nak bina kekuatan followers. Sebab itulah jangan digunakan instagram untuk promote servis atau produk yang tak senonoh pula. Kadang kala, mungkin ada diantara keluarga atau kawan yang menjadi pelanggan. Mungkin mereka tak jadi pelanggan, tapi mereka bagi feedback ataupun komen tentang perniagaan kita. Komen yang membina harapnya.

Akaun prospek.

Orang seterus yang perlu difollow ialah prospek. Bagaimana mengenali prospek? Prospek ialah orang yang berpotensi membeli produk yang cuba kita jual. Setiap barang tercipta untuk memudahkan atau menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh itu, cari orang yang mungkin ada masalah yang kita ingin bantu selesaikan dengan menjual barang kita. Dalam instagram ada fungsi search, yang akan mencari dan menapis setiap hashtag(#). Contohnya, bagi orang yang pernah post gambar muka dan dia post ayat macam ni;

“Eii… tak suka #jerawat #jerawatbatu #dahtakdesapenakkisspipi”

Kebetulan kita jual krim muka atau sabun susu kambing, maka akaun ini ialah prospek kita. Follow dia. Setiap kali seseorang follow sesuatu akaun id instagram, owner akan mendapat alert. Kalau dia berminat dia akan jengah akaun kita. Kita boleh like gambar dia atau tambah komen untuk menambahkan alert kepada pemilik akaun dan membuatkan dia lebih ingin tahu dan klik kepada akaun kita.

Tapi janganlah like gambar pipi jerawat batu dia dan komen pula;

“A-ah, dah macam kawah bulan. Pakailah krim yang saya jual ni, mesti berkesan”

Itu namanya kurang sopan. Kalau kena block pun dah kira untung, kalau tak, mau kena santau terus.

Teknik Rasia: scroll la sikit atas bawah dari gambar tadi. mungkin ada gambar lain yang lebih sesuai dilike atau nak dikomen. Mungkin ada gambar dia pergi kenduri pakai baju kurung yang lawa sikit. Ha, aku syorkan like gambar yang ini. Cari lagi dalam lima keping, dan like lagi. Kalau sebanyak itu, rasanya prospek akan kunjungi IG kita balik untuk lihat siapa stalker baharu dia.

Begitu juga dengan komen. jangan terus promote produk dalam komen. itu namanya hard selling. Seolah oleh kita sua barang depan muka dia dan kata, belilah! belilah! Kalau dalam post sendiri tak pe, dah masuk kedai memang la kita promote, ye tak? Tapi dalam komen di page orang lain biarlah ikhlas walau dibuat-buat. Kalau nampak gambar prospek depan Tokyo Disneyland tu buatlah komen macam ni;

“wah @pemilikIG, untunglah dapat jalan ke Jepun. Cantik gambarnya. Jumpa Doraemon tak? Kirim salam kat Nobita nanti ye. Moyang saya dulu kena pancung dengan Jepun masa zaman perang dulu” berpada-padalah semasa komen tu. Biar simple tapi ikhlas.

Akaun pelanggan.

Jika kita telah berjaya buat jualan, jangan pula tak follow akaun pelanggan tadi. Follow akaun mereka untuk memastikan pembelian yang berulang. Kalau produk yang kita jual tahan sebulan, buat catatan tarikh pelanggan beli. Sebulan dari tarikh itu, sepatutnya produk dia dah habis, DM(Direct Message) untuk tawarkan lagi produk tersebut. Orang putih panggil repeat order. Ubah pembeli kepada pelanggan setia.

Sekali sekala jengok timeline mereka, mungkin ada yang selfie menunjukkan perubahan kulit muka. Atau ada yang bergambar dengan produk kita setelah barang diterima. Hubungi mereka dan cuba minta izin untuk repost gambar itu sebagai testimoni. Mungkin juga ada yang akan kutuk. Jangan kecil hati atau kutuk balik. Cuba contact dan cari penyelesaian. Mungkin saiznya salah, kesannya kurang.

Memang ada produk yang kita sangka bagus, lalu kita jual, tapi sebenarnya hampeh. Baik terima aduan pelanggan sebelum kita jual lebih banyak lagi. Mungkin dengan feedback ini kita akan boleh buat keputusan untuk stopkan jualan dan cari produk lain yang lebih berkualiti.

Akaun pesaing.

Ops. Jangan follow akaun pesaing. Aku bukan nak ajar kacau periuk nasi orang, tapi aku nak ajar teknik persaingan yang sihat. Akaun pesaing kita boleh search, tapi bukan untuk kita follow. Bila kita jumpa akaun pesaing ni, cuba buka senarai followers dia, hah, follow semua followers dia. Tak la, jangan lurus sangat, tapis la juga, yang mana prospek yang mana bukan. Kalau jual tudung, follow la yang gegurlz, kalau jual baju kurta follow la yang boi boi.

Peringatan, jangan la satu hari seribu terus yang kau follow. Stay antara 20-30 untuk elakkan akaun tu kena banned atau kena block. Kalau aku, aku rendahkan lagi had tu. Instagram ni penyakit dia kalau dah kena block tu bukannya senang nak bukak balik. Rasanya kalau dah kena block tu boleh anggap akaun tu dah terkubur la. Kalau asyik kena block je macam mana nak buat side income instagram?

Akaun high profile.

Instagram artis dan instagram menteri. Pantang nombor satu ialah jangan la terus komen promote produk korang. itu spam namanya. Memang la ramai yang baca, sebab akaun diorang ramai followers, tapi ramai jugaklah yang akan menyampah dan memaki hamun. Sah-sah komen tu lari topik.

Untuk itu, followlah akaun artis yang korang minat sahaja. Kalau nak komen, komenlah yang berbunyi ikhlas sikit, puji pencapaian dia, tanya album baru bila nak keluar. Bayangkan kita komen macam ni;

“Hai kak @artiscomel, rajin buat konsert sekaran. Bila nak buat di Kuching? teringin nak tengok konsert akak. Mana tahu dapat selfie dengan akak”

Sekali tergerak hati dia nak balas;

“Hai @akaunIGkita, Akak ada plan hujung tahun ni, jangan tak datang tau!”

Tak melompat kita? Akaun high profile mention akaun kita, mau tak kena serbu? tapi jangan berharap sangat. Aku bagitahu kenapa: Akaun artis biasanya tak diuruskan sendiri oleh artis, mereka ada social account manager. Orang yang dibayar untuk menguruskan akaun sosial artis. Hanya segelintir artis je yang manage akaun sosial sendiri. Artis kan sibuk.

Artis juga ada yang buat duit dengan instagram dengan buka tempahan untuk paid review atau shoutout. Untuk paid review daripada artis, RM 5,000 tu biasa je tu. Tapi berbaloi la kan, kalau follower dia pun dah lebih 50 ribu. Kalau congak, lebih kurang sepuluh sen satu kepala la. Kalau ada modal besar, silakan.

Teknik berkesan jana duit menggunakan Instagram.

Ok. Demikianlah sedikit sebanyak benda yang aku boleh kongsikan setakat ini. Tujuannya supaya mana yang belum faham boleh jadi faham, mana yang kabur boleh terang. Aku tak ajar pun sesiapa jual barang di instagram, aku tak jamin pun sesiapa boleh jadi jutawan instagram. Aku cuma bagi pendedahan macam mana orang lain boleh buat side income dari instagram. Ada juga yang buat full time ye, cukup nak bagi makan anak bini.

Berjaya atau tidak, itu atas usaha masing-masing. Kalau membaca dan terus membaca tapi tak mencuba, tak tahu lagi untung nasib. Kalau cuba tapi tak membaca langsung, main ikut – ikut je, memang kelaut nanti. Bertindak sekarang kalau nak merasa, kalau tak berminat boleh cuba jalan lain. Banyak cara dan peluang untuk rezeki. Tak semestinya sapa tak buat duit dengan instagram tu tak cerdik. Mungkin dia rasa tak sesuai je, bukan jiwa dia. Itu sahaja.

Baca juga:

Leave a Comment

error: Content is protected !!